MALAYSIAKINI
Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) menganggap pembelian 116 unit alat penyelamat bernilai RM50 juta oleh Jabatan Bomba atas arahan Kementerian Kewangan (MOF) merupakan satu pembaziran.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau mahu MOF memberi kenyataan segera kerana memberi arahan dan mengeluarkan dana pembelian secara rundingan terus alat pemotong bernama "CCS Cobra Cutting Extinguisher E300" dari syarikat Asas Jaya Sdn Bhd dianggap tidak penting dan tidak digunakan sepenuhnya oleh Bomba.
"Bomba berkata mereka tidak memerlukan peralatan tersebut.
"Kami (PAC) anggap ia (pembelian) itu satu pembaziran," kata beliau dalam sidang media di parlimen hari ini.
Timbalan ketua pengarah bomba Datuk Mahadi Mat Ali memberi keterangan kepada PAC atas laporan Ketua Audit Negara 2012.
Nur Jazlan berkata, mengikut keterangan Mahadi, alat yang dikeluarkan syarikat Sweden itu dianggap tidak perlu kerana ia merupakan alatan tambahan kepada peralatan asas menyelamat yang mampu memotong konkrit yang lazimnya digunakan di kawasan gempa bumi dan bangunan runtuh, dua perkara yang jarang dialami negara Malaysia.
"Kita nak tau motif (MOF) arah beli alat ini. Kita sudah minta wakil MOF yang ada di PAC tadi memberi respon berkenaan perkara ini secepat mungkin," katanya.