KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 notis dikeluarkan dengan nilai rampasan berjumlah RM17,013.04 dicatat pada hari kedua pelaksanaan Ops Harga 2014, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek.
Beliau berkata sebanyak 9,552 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara semalam dan dari jumlah itu 143 kes kesalahan dikesan iaitu melibatkan 100 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, 41 kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan dua kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
"Sabah mencatatkan kes paling banyak iaitu 37, diikuti Perak (25), Johor (16), Selangor (15), Kelantan (10), Terengga (sembilan), Negeri Sembilan (lapan), Pahang (enam), Putrajaya (lima), Sarawak (empat) masing-masing tiga kes di (Wilayah Persekutuan) Labuan dan Pulau Pinang serta dua kes di Kedah," katanya kepada Bernama hari ini.
Negeri Sembilan menjadi negeri paling banyak notis dikeluarkan iaitu 19, diikuti Sabah (lapan), Selangor (lima), Pahang (empat) dan Kedah (satu).
Dalam operasi hari kedua pada Selasa, penguatkuasa KPDNK memeriksa 3,802 pasar basah di seluruh negara, selain pasar malam atau pasar tamu (2,325), pasar tani (1,313), kedai runcit (1,073), pemborong (100), pengeluar (2).
Pemeriksaan juga melibatkan beberapa kedai dan gerai makan, restoran, pasar raya besar dan pasar raya.
Pemeriksaan Ops Harga pada hari kedua melibatkan lebih banyak premis perniagaan, berbanding 7,142 pada hari pertama melibatkan 122 kes diambil tindakan dan 38 notis dengan nilai rampasan RM14,764.90.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pemeriksaan premis yang dilakukan sejak awal tahun ini kepada 62,849 buah, dengan 749 kes diambil tindakan, pengeluaran 83 notis dengan nilai keseluruhan kompaun RM54,350 dan nilai rampasan RM86,753.17.
Ops Harga 2014 dilancarkan pada Isnin lalu, melibatkan 1,800 pegawai penguatkuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga.
Operasi itu memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta memeriksaan alat timbang dan sukat. - Bernama