Oleh A Shukur Harun
Belum pernah dalam sepanjang sejarah negara ini selepas merdeka, terpaksa berdepan krisis yang sangat berat ini. Malah isu perkauman yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 dulu hanya beberapa tahun sahaja dan lepas itu keadaan negara pulih lembali.
Tetapi kini, apa yang berlaku - isu perkauman, ketegangan agama, krisis ekonomi dan kini isu kenaikan harga barang mencetuskan krisis serius yang sangat bahaya kepada negara dan rakyat berbilang kaum.
Rakyat dengan tiba-tiba 'terhibur' dengan isu kononnya harga kangkung turun yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak hingga media sosial mengangkatnya sebagai bahan tawa berterusan kerana sangat melucukan. Belum pernah ada kata-kata sebegini rupa diucapkan oleh seorang pemimin negara selama ini.
Tetapi gelak ketawa dan rasa terhibur dengan isu kangkung ini tidak sewajarnya berlanjutan, cukuplah sebentar saja gelak ketawa mengenainya. Ini kerana masalah besar yang dihadapi rakyat sangat serius diakibatkan oleh pemimpin dan pasukannya yang lemah.
Isu perkauman, yang sangat menakutkan, terutama ketika pilihan raya umum, isu kalimah Allah yang hangat sejak akhir-akhir ini menimbulkan ketegangan antara penganut agama di negara ini dan ini sangat mencemaskan.
Kemudian krisis ekonomi yang serius dengan beban hutang negara terus meningkat, kenaikan harga barang yang benar-benar menekan kehidupan rakyat, isu rasuah, penyelewengan dan pembaziran yang sangat berat. Hingga kini masalah ini belum ada tanda-tanda ia akan selesai atau akan diselesaikan, malah semakin membimbangkan.
Seperti kata seorang pengulas politik dan ekonomi, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, kenyataan Najib bukan kali pertama mendapat kritikan dan cemuhan daripada pengguna laman sosial dan rakyat, malahan menteri Kabinet sebelum ini dikritik hebat kerana kenyataan tidak memahami sensitiviti rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat tetapi nampaknya begitu sukar difahami oleh Datuk Seri Najib dan para menterinya.
Wan Saiful berkata, sikap memekakkan telinga Datuk Seri Najib mengenai isu-isu utama ditambah pula dengan Kabinet yang tidak memberikan sokongan padu dilihat antara sebab utama mengapa perdana menteri itu dilihat sebagai lemah dan tidak berkuasa.
Menurutnya, ini diburukkan lagi oleh tiadanya pendirian tegas dalam menangani isu yang sedang panas termasuk agama dan kaum serta pengurusan ekonomi yang sedang menyelubungi negara ini.
Menurut pendapat saya, mereka kelihatan terpisah dengan realiti masyarakat di sekeliling, tangisan petani dan nelayan, peniaga kecil dan warung di tepi jalan, kaum buruh, kakitangan awam dan swasta bergaji kecil, malah ibu tunggal yang menyara anak. Seolah-olah mereka tidak mendengar keluhan rakyat ini.
Semuanya ini, seperti saya katakan tadi diakibatkan oleh kepimpinan negara sangat lemah, tidak ada wawasan, tidak memandang jauh ke depan, tidak selalu bertanya kepada bisikan hati mereka, hati mereka tidak dekat kepada rakyat. Jauh sekali mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad dan sahabat, walaupun menyambut Maulidur Rasul setiap tahun.
Sementara itu, portal berita Asia Sentinel pula menganggap pentadbiran perdana menteri berdepan kebencian merentasi semua lapisan rakyat sehingga dalam Umno sendiri. Laman tersebut melaporkan situasi sama semasa penyingkiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi kini berulang. Pada pendapat saya, atas kelemahan kepimpinan negara sama ada perdana menterinya mahupun pasukan Kabinetnya adalah sesuatu yang sangat serius untuk difikirkan kerana kesannya sangat membimbangkan.
Oleh itu, isu kangkung turun harga yang menjadi bahan tawa hingga ke London adalah manifestasi kelemahan kepimpinan negara dan ini perlu difikirkan secara serius. Malah, ini yang perlu diutamakan daripada bergelak ketawa berpanjangan dengan isu kangkung itu.
Kita sedih kerana negara yang mencapai kemerdekaan sejak 57 lalu itu menghadapi situasi yang demikian rupa, keadaan tidak menentu bagaimanakah sebenarnya masa depan generasi akan datang jika berpanjangan keadaan seperti ini.
Di sinilah saya melihat, generasi baru, anak muda semua bangsa, khususnya mahasiswa kelihatannya sudah bersedia memimpin perubahan apabila mendominasi pelbagai himpunan rakyat baik di ibu negara mahupun di tempat lain. Antaranya termasuk membantah kenaikan harga barang.
Kebangkitan anak muda ini adalah manifestasi bahawa mereka sudah sangat bersedia memimpin perubahan iaitu melalui pilihan raya umum kira-kira empat tahun dari sekaranng. Masanya dilihat lama lagi, tetapi sewajarnya momentum ini dikekalkan hingga datangnya PRU akan datang.
Kebangkitan anak muda ini adalah sebuah fenomena, yang menghantar isyarat jelas bahawa generasi lama - sejak sekian lama - tidak mampu membuat perubahan untuk kebaikan masa depan rakyat dan negara.
Kebanyakan generasi lama, menurut anak muda ini, sangat terikat dengan nostalgia, kenangan lama, jasa parti yang lama memerintah. Oleh itu, dengan ditambah pelbagai habuan pilihan raya oleh Umno/BN, maka kebanyakan generasi lama terikat dengan jasa dan kenangan masa lampau serta habuan yang ditabur menyebabkan mereka amat sukar melakukan perubahan.
Anak muda bosan dengan keadaan yang berlarutan ini, lebih-lebih lagi apabila melihat negara sedang menghadapi krisis ekonomi, ketegangan hubungan kaum dan agama, rasuah, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran yang tidak ada tanda akan berakhir.
Maka, manifestasi kelemahan pemimpin negara yang antaranya, terserlah melalui isu kangkung turun harga, serta kenyataan beberapa menteri yang sangat lemah menjustifikasikan tindakan anak muda sejak akhir-akhir ini.
Jangan salahkan anak muda kerana pemimpin negara secara tidak sedar menyediakan suasana yang semikian rupa, lebih-lebih lagi apabila pemimpin memekakkan telinga daripada mendengar suara rakyat.
Untuk itu saya teringat kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, Thomas Jefferson: "When the people fear the government, there is tyranny. When the government fears the people, there is liberty."