MALAYSIAKINI
Dasar Automotif Negara 2014 (DAN) gagal menurunkan harga kereta merentasi industri kerana tidak memberi tumpuan kepada punca sebenar harga kereta menjadi mahal, kata PKR.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menyenaraikan cukai eksais yang tinggi, dan dasar permit import (AP) serta pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sebagai tiga perkara asas yang tidak disentuh DAN.
Menurut mereka, cukai eksais kini berkadar di antara 85 hingga 110 peratus sementara pelaksanaan dasar AP pula mengayakan kroni tertentu dan rebat cukai yang tidak telus menyebabkan margin keuntungan dimanipulasi dalam pembuatan dan penjualan kereta.
"Keengganan BN melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia," kenyataan mereka dipetik.
Mereka turut membidas pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih yang tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhan kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil.
"Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industri automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik untuk meredakan kemarahan rakyat," katanya.
Pada masa sama, mereka turut mempertikaikan penurunan beberapa harga kereta model baru seperti didakwa kerajaan.
Menurutnya, penurunan harga tersebut tidak kekal merentasi industri dan penurunan beberapa model lama pula berlaku kerana kos pembangunannya sudah pun diperolehi syarikat kereta berkenaan.
"Rakyat menuntut janji BN untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat.
"Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam," kata mereka.