SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan Ops Harga 2014 serentak di seluruh negara, mulai hari ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata KPDNKK serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
"Menerusi operasi ini, kami akan membuat pemeriksaan mengejut (dari semasa ke semasa) di tiga sasaran utama iaitu pasar basah, kedai runcit dan restoran.
"Operasi ini memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta memeriksa alat timbang dan sukat," katanya pada sidang akhbar selepas menyertai Ops Harga 2014 di Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.
Beliau berkata Ops Harga 2014 melibatkan 1,800 pegawai penguatkuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak untuk membantu kementerian dalam memastikan kawalan harga dipatuhi.
"Saya juga meminta pengguna supaya membuat aduan kepada KPDNKK jika terdapat pihak yang menaikkan harga dan sebagainya. Saya ingin mengingatkan peniaga agar jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang," katanya.
Sementara itu, Hasan berkata kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji akta sedia ada dalam usaha memperkemas dan memperketatkan akta berkenaan.
Jawatankuasa yang terdiri daripada persatuan pengguna, ahli ekonomi, Peguam Negara dan sebagainya itu sedang mengkaji dan mengambil kira pandangan untuk tujuan itu.
Di ALOR SETAR, timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kenaikan harga barang yang keterlaluan turut disumbangkan oleh sikap peniaga yang terpengaruh dengan gembar-gembur pihak tidak bertanggungjawab melalui pelbagai saluran teknologi terkini.
"Pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah menyalahkan kerajaan bila harga barang naik namun kita tidak menolak kenaikan itu berkait dengan cuaca, bekalan dan permintaan.
"Pengguna sewajarnya menjadi lebih bijak dengan membuat perbandingan harga sebelum membeli," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan bersama pegawai-pegawai KPDNKK cawangan Kedah di Pasar Besar Alor Setar, hari ini.
Ahmad Bashah berkata maklumat yang disalurkan oleh Skuad Pengguna serta operasi-operasi KPDNKK mendapati dakwaan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengenai kenaikan harga tidak semuanya betul.
Beliau memberi contoh tinjauan hari ini mendapati ada peniaga menjual ayam RM6.80 satu kilogram dan ada yang menjualnya dengan harga RM7.30 satu kilogram manakala daging pula ada yang dijual RM25 satu kilogram dan ada RM27 satu kilogram.
"Pembeli sebenarnya ada pilihan. Kita pula akan siasat mengapa berlaku perbezaan ini walaupun peniaga-peniaga ini berniaga berdekatan sebelum dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Ahmad Bashah berkata Skuad Pengguna yang dianggotai lebih 400,000 orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik di seluruh negara turut membantu membuat pemantauan menyeluruh terhadap semua premis termasuk di pekan kecil, pasar tani dan restoran. - Bernama