Program henti merokok anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis kurang mendapat sambutan iaitu bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini hanya 80 orang menyertainya berbanding 124 orang tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Jafperi Othman berkata jumlah penduduk di negeri ini yang menghisap rokok masih tinggi iaitu 33.1 peratus daripada keseluruhan lebih 236,000 penduduk.
"Tahap kesedaran penduduk negeri ini terhadap penjagaan kesihatan masih rendah, walaupun Jabatan Kesihatan Negeri menganjurkan program henti merokok, sambutan yang diterima daripada penghisap rokok amat dingin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Azlan Man pada majlis penyampaian elaun kepada pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Warisan di Kangar hari ini.
Katanya kajian juga menunjukkan lebih 34,000 penduduk di negeri ini menghidap penyakit kencing manis, lebih 50,000 menghidap penyakit darah tinggi, hampir 29,000 mengalami masalah berat badan dan lebih 63,000 orang mempunyai kolestrol tinggi.
Sehubungan itu beliau mengajak para pemimpin kanan JKKK memainkan peranan ke arah menyedarkan masyarakat pentingnya mereka menjaga kesihatan diri.
Jafperi berkata mereka boleh memanfaatkan kemudahan kesihatan di negeri ini yang disediakan kerajaan iaitu sebuah hospital, sembilan klinik kesihatan, 30 klinik desa, sepuluh klinik pergigian dan empat klinik 1Malaysia.- Bernama