Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Tukar saja kepada ‘Tahun Merawat Malaysia’

$
0
0
 Oleh SHIRZAD LIFEBOAT 


SECARA umum, rasanya tidak ada mana-mana rakyat Malaysia menentang atau tidak begitu gemar dengan idea Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM- 2014) Perdana Menteri Najib Tun Razak menganggapnya sebagai misi nasional dan setiap rakyat dianggap duta Malaysia bagi para pelancong asing yang datang untuk menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka tentang, bukan sahaja keindahan bumi Malaysia, tetapi juga ingin menerokai pelbagai budaya yang ditawarkan oleh rakyat negara ini.





Selain daripada pelbagai acara kemuncak yang telah disusun oleh Kementerian Pelancongan, apa yang bakal menjadi sebahagian pengalaman utama para pelancong sudah tentulah penginapan hotel dan penyediaan makanan.

TMM-2014 sudah tentu merupakan satu temasya besar. Justeru persiapannya sudah tentulah telah dibuat mungkin setahun dulu atau lebih. Makna kata, beberapa bulan menjelang pelancaran, semuanya sudah beres atau setidak-tidaknya 90 peratus beres.

Tanpa mengambil ‘pot’ sangat tentang TMM-2014 yang telah diumumkan pada 2013 lagi, November lalu saya telah menjelajah ke beberapa tempat di Semenanjung Malaysia untuk tujuan mengambil foto landskap untuk sebuah laman web bank  imej yang menjual foto ke seluruh dunia.

Tempat persinggahan pertama saya ialah Tasik Kenyir. Sekiranya ada pelancong asing yang mahu ke sini, ia sudah tentulah bukan disebabkan ia merupakan empangan yang membekalkan sumber tenaga kepada Stesen Jana elektrik Sultan Mahmud di Terengganu, tetapi kerana Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Walaupun pemandangannya tidaklah sehebat, misalnya, Tasik Arenal, sebuah tasik buatan manusia di Costa Rica, Amerika Latin yang berlatarbelakangkan Gunung Berapi Arenal, Tasik Kenyir adalah tasik kita dan kita berhak merasa bangga mengenainya.

Malangnya sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke dalam calet penginapan, suasana dan kemasannya tidak pun seempat bintang mana sebagaimana yang dinyatakan. Perabotnya usang dan perlukan penggantian. Begitu juga bilik mandi yang ada paip dan lampu yang telah rosak dan tidak dibaiki.

Nak dikatakan pemilik tempat peranginan ini tak ada duit, tak mungkin sebab pemiliknya adalah seorang tokoh korporat Melayu yang membolot banyak projek mega kerajaan dan pemegang saham utama sebuah syarikat kereta nasional.

Dari Tasik Kenyir saya terus ke Kuala Rompin. Tempat peranginan yang ditempah awal-awal lagi menyatakan ia bertaraf lima bintang. Antara daya tarikan utama, selain menganjung ke Laut China Selatan – tepat untuk merakamkan foto mentari terbit di atas garisan u***** – terdapat juga sebuah padang golf 18-lubang berjarak ‘sepenanak nasi’ dari bangunan hotel.

Pendek kata sebelum sampai ke sini lagi saya sudah membayangkan sebuah lagi hotel bertaraf sama di Terengganu, juga menghadap Laut China Selatan dan mempunyai padang golf serta dengan kemasan bilik yang mewah serta hidangan makanan dan sajian sarapan kelas pertama.

Malangnya, sebaik sahaja memasuki kawasan hotel di Kuala Rompin ini, keadaan sekelilingnya tidak menjanjikan keselesaan.

Landskap persekitarannya berkeadaan semak samun dan tidak berjaga. Bangunan hotelnya pula kelihatan usang dan memerlukan cat baru.

Keadaan bilik hotel pula rasanya tidak ada banyak beza dengan sebuah rumah tumpangan di, katakan Raub, Pahang.

Walaupun sudah hampir jam 3 petang, saya ke restoran untuk memesan makanan. Kecuali sebuah meja yang diduduki oleh sepasang suami isteri, meja lain semuanya kosong. Jika adapun tetamu lain dalam restoran itu ialah kucing tidak bertuan yang berkeliaran di atas lantai restoran dan meminta makan.

Saya memesan ‘fish and chips’. Harganya setaraf dengan harga juadah tersebut di hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Maka setelah menunggu lebih 45 minit, yang dipesan pun sampai. Rupa-rupanya ‘fish and chips’ di restoran hotel ini lebih merupakan ‘fish fillets’ (kepingan ikan) dan kentang goreng dan bukannya daging ikan sebagaimana yang biasa kita makan.

Saya tidak merungut. Di sebabkan sudah lapar kerana belum makan tengahari, maka saya terus memotong secebis.

Sebaik sahaja tersentuh lidah, saya dapati kepingan ikan itu tidak masak. Lalu saya memanggil pelayan dan memberitahunya dengan baik. Dia mengambilnya dari meja saya sebelum menghidangkan yang baru hampir 45 minit kemudian.

Malangnya kepingan ikan yang baru ini pula sudah menghampiri hangus dan tidak boleh dimakan.

Beberapa hari kemudian saya ke Langkawi pula untuk mengambil gambar mentari terbenam dan juga landskap persekitaran. Kali ini hotel yang dipilih ialah sebuah hotel yang menjadi pangkalan kepada botbot riadah dan suatu ketika dulu diasosiasikan dengan seorang pengembara anak Malaysia yang mengelilingi dunia secara solo.

Di hotel ini saya terpaksa menunggu hampir sejam sebelum diberikan bilik walaupun tempahan telah dibuat awal lagi.

Walaupun biliknya masih lagi membawa nostalgia zaman hotel ini baru dibuka dan ketika mana Dr Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri ketika itu kerap berkunjung ke sini, tetapi rasanya perabot dan kemasannya perlu dipulihkan atau di’refurbish’.

Sebagaimana biasa saya akan mencari buku panduan bilik untuk memesan makanan dan sebagainya, malangnya saya tidak menjumpainya. Apabila saya menelefon ‘reception’, jawapan saya terima ialah, “Hotel ini memang takde buku itu.”

Begitulah sedikit pengalaman saya ketika menjelajah ke seluruh Semenanjung atas tajaan firma bank foto itu. Banyak lagi kalau mahu ditulis, misalnya sebuah hotel yang merupakan salah satu daripada rangkaian hotel dan percutian terbesar di Malaysia mengambil masa hampir dua jam untuk membawa seterika dan alasnya setelah dihubungi tiga kali.

Sebenarnya pengalaman saya ini turut dikongsi oleh pelawat tempatan dan pelancong asing setiap masa. Bacalah komen mereka dalam lamanlaman web dan anda akan lebih memahaminya.
Sepatutnya selepas lebih sedekad kita menganjurkan Tahun Melawat Malaysia dan juga Tahun Melawat negeri-negeri, hal mengaibkan negara kita ini tidak perlu berlaku lagi.

Kita setuju betapa kita tidak dapat lari daripada kelemahan. Tetapi kalau perkara seasas ini pun kita tidak dapat berikan perhatian dan ambil tindakan bersesuaian, rasanya lebih baik sahaja kita mengadakan Tahun Merawat Malaysia sebelum kita menganjurkan Tahun Melawat Malaysia.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722