Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof (dua, kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada ibu tunggal, Ainul Murshida Mohd Isa, 57, (dua, kanan) di majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NBOS7) di kampung Sungai Limau, Lunas, Kulim petang semalam. Turut kelihatan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Ahmad Shahabuddin (kiri). - Foto BernamaTimbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof (dua, kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada ibu tunggal, Ainul Murshida Mohd Isa, 57, (dua, kanan) di majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NBOS7) di kampung Sungai Limau, Lunas, Kulim petang semalam. Turut kelihatan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Ahmad Shahabuddin (kiri). - Foto Bernama
 
 
KULIM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membantu membina 62 rumah mangsa kebakaran yang miskin dan susah melibatkan kos hampir RM2 juta di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak 2012.
  
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, bantuan rumah tiga bilik untuk mangsa kebakaran yang menepati kriteria tertentu itu dibina sendiri kakitangan jabatan dan siap dalam tempoh antara 30 dan 40 hari.
  
"Kami mendapat kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam usaha mendapatkan bantuan berkenaan dan jabatan kami menyediakan tenaga kerja secara bergilir dalam kalangan kakitangan," katanya kepada pemberita hari ini.
  
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika kunci sebuah rumah yang dibina kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulim kepada seorang ibu tunggal mangsa kebakaran, Ainul Mushida Mohd Isa, 57, di Kampung Sungai Limau, Lunas dekat sini.
  
Amer berkata, bagi tahun ini, JBPM telah membina 32 rumah berharga RM30,000 sebuah di Semenanjung dan RM42,000 sebuah di Sabah dan Sarawak. Rumah berkenaan turut dilengkapi perabot.

Katanya, rumah milik Ainul Mushida ini merupakan antara dua rumah yang dibina di Kedah dengan sebuah lagi di daerah Kota Setar.
  
Sementara itu, Ainul Mushida melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana mendapat bantuan rumah yang turut dilengkapi perabot.
  
"Saya dan keluarga amat berterima kasih atas sumbangan rumah yang bukan sahaja cantik binaannya tetapi akan menjadi tempat saya dan keluarga berteduh daripada hujan dan panas kerana selama ini saya menumpang di rumah keluarga," katanya. - Bernama