Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program Penjaja 1Malaysia ketika melawat tapak pameran sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang dekat Seremban hari ini. - Foto Bernama
SINAR HARIANSEREMBAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua penjaja dan peniaga kecil agar tidak menyewakan premis perniagaan mereka yang disediakan kerajaan kepada orang lain terutama warga asing.
Beliau berkata golongan itu perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil peluang daripada bantuan yang disalurkan kerajaan itu untuk memajukan diri dan tidak hanya bergantung kepada sewa yang dibayar oleh orang lain yang berniaga di premis tersebut.
"Saya pantang sekali, kalau saya dengar, kalau ada kawasan premis perniagaan yang sangat baik tapi bila kita pergi sana, kita dengar bahasa (yang digunakan oleh peniaga di situ) lain.
"Sebab kita sediakan peluang ini untuk penjaja dan peniaga kita dan mereka mestilah bertanggungjawab, jangan cari jalan mudah mahu dapat sewa daripada orang lain," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang, di sini hari ini.
Beliau berkata menyewakan premis perniagaan kepada orang lain bukanlah tindakan yang bijak atau menguntungkan sebaliknya hanya merugikan penjaja atau peniaga kecil terbabit. - Bernama