SHAH ALAM – Kemelut politik dalaman yang melanda ruang politik Selangor antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali selaku ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri (PKNS) sudah diketahui kesudahannya.
Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, drama PKR pada permulaan tahun ini telah disiapkan skripnya yang akhirnya ditamatkan dengan Menteri Besar yang juga Pengerusi PKNS akur dengan keputusan kerajaan PR Selangor.
“Ini semua nak tunjuk kepada rakyat bahawa dalam kepimpinan PR, setiap pemimpin boleh ditegur walaupun sekutu di dalam parti dan tanpa mengira batasan pangkat selaras dengan slogan mereka lawan tetap lawan. Tak macam BN yang hanya akur kepada keputusan pucuk pimpinan.
“Dalam kes Abdul Khalid dan Azmin ini kita lihat nanti akhirnya keputusan menteri besar akur kepada kehendak kerajaan. Skrip dan pengarah telah diatur, dan boleh diibaratkan semua pemimpin dalam PR seperti lembu dicucuk hidung,” katanya ketika sidang media, semalam.