SELANGOR KINI
SHAH ALAM: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membidas kenyataan seorang blogger pro-Umno yang cuba mengaitkan sebuah flashmob parodi kangkung dengan sentimen perkauman.
Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata tindakan blogger itu hanya mengambil kesempatan dari satu aksi semata-mata, namun tidak melihat dari pelbagai sudut yang lebih menyeluruh.

“Apa yang berlaku dalam negara hari ini ialah, 1Malaysia telah ditindas pemerintah dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal dan tidak ada kaum yang terkecuali.
“Respon daripada menteri pula dilihat kurang bijak dan mendapat kritikan umum,” kata Edy dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kemuncaknya, lahir parodi disensasikan secara meluas berpunca daripada respon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis di Kemaman.
“Semua kaum di atas nama rakyat Malaysia terlibat dalam menjayakan ‘parodi kangkung’ yang bermula di laman sosial, dan tidak menolak kemungkinan ianya akan diperluas dalam bentuk flashmob yang mana trend ‘kangkung’ ini akhirnya mendapat perhatian dunia,” kata Edy.

“Justeru, SAMM bersetuju dengan saranan pelbagai pihak agar kempen #Kangkung1Malaysia dilancarkan bagi mengisi keharmonian kepelbagaian kaum yang bersatu meluahkan perasaan,” katanya.
EZY