KUALA LUMPUR– Semua Menteri Kabinet diseru membaca tulisan oleh adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak yang mengimbas kenangannya ketika membesar bersama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, artikel itu mengandungi banyak peringatan dan nasihat yang baik, yang dapat dijadikan tauladan oleh menteri-menteri.
“Saya setuju dengan pendapat rakan-rakan yang mencadangkan artikel itu dibaca menteri. Saya berharap Perdana Menteri dan kabinetnya sentiasa mengingati nilai yang dipegang Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan.
Artikel bertajuk ‘Remembering my father, Tun Razak’ yang disiarkan laman The Star hari ini antaranya menceritakan sikap berhemah beliau dalam menggunakan dana awam.
Memetik artikel itu, Tun Razak enggan memenuhi permintaan anak-anaknya untuk membina kolam renang di kediaman rasmi Perdana Menteri, hanya atas sebab ‘nanti apa rakyat kata?’.
Beliau berkata, Perdana Menteri dan para menteri perlu menanyakan soalan itu kepada diri sendiri agar sentiasa sedar kepercayaan yang diletakkan rakyat ke atas mereka.
“Jelas, jika soalan itu ditanya, kerajaan tidak akan luluskan isteri Perdana Menteri menggunakan pesawat kerajaan ketika dijemput ke Qatar atas kapasiti peribadi, juga tiada menteri yang buat masjlis hari jadi mewah ketika rakyat diminta berjimat cermat,” katanya lagi.
Penyimpangan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh itu juga memuji komen jujur Nazir berhubung DEB yang diperkenalkan Tun Razak.
Dalam artikel itu, Nazir menyifatkan pelaksanaan dasar itu kini sudah menyimpang daripada tujuan asal iaitu penyatuan kaum, ekoran menjadi jalan mudah untuk segolongan mengaut kekayaan, seterusnya mencipta jurang kelas dan status di kalangan orang Melayu, serta menimbulkan ketegangan antara kaum.
“Kerajaan tidak boleh nafi DEB tidak menguatkan perpaduan nasional, malah sikap membisu Perdana Menteri terhadap suara-suara rasis dan ekstrim turut merosakkannya,” kata Teresa lagi.
Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dari 1970 hingga 1976, selepas meninggal dunia akibat menderita penyakit Leukemia. – Roketkini.com