SAYA tidak kenal Ibdillah Ishak. Saya mengenali beliau hanya daripada portal berita dan blog. Dikhabarkan yang beliau adalahPengerusi Biro Media Baru, Pemuda UMNO Malaysia.
Saya kenal Khairy Jamaluddin sejak beliau pelajar universiti lagi dan juga kerana saya kenal ibu dan bapa mentuanya. Sudah bertahun-tahun tidak berjumpa belia. Hanya mengikuti jejak beliau melalui media massa.Ketika saya di New Straits Times, kita membantu kumpulan beliau (Ethos) mencetak beberapa keluaran majalah mereka. Saya turut menjadi penceramah kursus "Students for Vision 2020" yang melibatkan kumpulan beliau (termasuk Haji Omar Ong) pada awal 1990-an. Mereka dimentorkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Allahyarham Tan Sri Dr Nordin Sopiee.
Berkenaan Ibdillah, daripada apa yang saya baca (dan sekiranya berita itu benar dan tepat) maka bolehlah saya katakan yang beliau nampaknya faham peranan media baru dan kaedah yang wajar digunakan bagi menarik sokongan. Begitu juga Khairy.
Saya membaca tulisan seorang penulis yang memakai nom de plume Wenger Khairy dalam posting pada 10 Januari bertajuk “Ibdillah dan PMO Harus Melawan Balik Serangan Blogger” dalam blog The Rembau Times.
Antara lain Wenger Khairy berkata:
“Kami juga bersetuju dengan pandangan YBhg Sdr Ibdillah yang melahirkan rasa kurang senangnya dengan gelagat bloggers pro UMNO yang suka meminta upah untuk menjatuhkan pemimpin dan personaliti awam. Bloggers pro UMNO juga tiada pernah merasa bertanggung jawab terhadap kesan posting-posting mereka yang dipenuhi dengan adegan lucah, seks dan pekara-pekara (sic) yang tidak sehonoh (sic).”(Baca laporan penuh di sini).
Pemerhatian penulis tepat. Ada blogger pro-Umno atau yang bekerja untuk Umno atau pemuka-pemuka Umno yang sangat peribadi (personal) dan keterlaluan serangan mereka. Malah ada yang boleh dikategorikan sebagai lucah.
Ia mesti ada kebenaran kerana beberapa hari selepas itu, Khairy menyuarakan sentimen yang serupa dalam temu ramah dengan Berita Harian Ahad 12 Januari.
Antara lain beliau berkata: “.....itu membuktikan strategi media sosial yang kita gunakan selama ini membuktikan ia tidak berkesan, cakap dalam kelompok sendiri, masih syok sendiri, sedangkan pembangkang lebih kepada sasaran mendekati masyarakat umum. Saya akui, strategi lama itu tidak berkesan.” (Baca di sini).
Mengapa Hal Ini Berlaku?
Pertama, sebagai blogger yang bekerja untuk parti, ketua-ketua parti dan isteri mereka, tugas utama adalah menyokong parti dan ketua-ketua parti yang menggunakan khidmat mereka.
Kedua, bukan semua blogger politik ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan komunikasi. Majoriti adalah aktivis parti yang bukan wartawan atau penulis.
Ketiga, oleh kerana mereka tidak berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan komunikasi maka mereka kurang arif mengenai undang-undang, etika dan psikologi komunikasi.
Keempat, bukan semua blogger yang khidmat mereka digunakan oleh parti-parti politik terdiri daripada orang berpendidikan tinggi atau berpengetahuan luas dalam bidang politik, ekonomi, pengurusan dan pentadbiran.
Bukan Mudah Jadi Blogger Bartanggungjawab
Sebenarnya bukanlah mudah menjadi blogger makan gaji yang baik dan bertanggungjawab. Bebannya boleh dikira berat.
Pertama, kebebasannya terhad. Dia hanya boleh menulis rencana (posting) menyokong majikannya. Kedua, rencana yang ditulis hendaklah cukup baik untuk menarik minat pelayar Internet dan diyakini.
Ketiga, dia kena baca komen-komen yang dihantar sebelum disiarkan. Dan keempat, dia perlu berbahas dengan para pengulas bagi menjawab hujah yang tidak positif terhadap majikannya.
Tetapi tidak adil menyalahkan blogger saja. Turut menjadikan sfera blog kita tidak sihat adalah pembaca yang menghantar komen. Sebenarnya merekalah yang lebih banyak menyebabkan unsur negatif membanjiri dunia blog kita.
Mereka ini terdiri daripada tiga kelompok utama. Pertama pembahas bebas tanpa afiliasi politik.
Kedua pembahas bebas yang pro parti-parti politik tertentu. Dan ketiga pembahas yang ditugaskan oleh pihak-pihak tertentu, khasnya parti politik, untuk berbahas dalam blog. Di kalangan mereka ada kakitangan awam, pengamal perhubungan awam, petugas parti politik dan orang yang diupah khusus untuk berbahas yang kerap disebut sebagai cybertrooper atau laskar siber.
Kedua pembahas bebas yang pro parti-parti politik tertentu. Dan ketiga pembahas yang ditugaskan oleh pihak-pihak tertentu, khasnya parti politik, untuk berbahas dalam blog. Di kalangan mereka ada kakitangan awam, pengamal perhubungan awam, petugas parti politik dan orang yang diupah khusus untuk berbahas yang kerap disebut sebagai cybertrooper atau laskar siber.
Dalam konteks inilah saya melihat saranan Ibdillah dan Khairy sebagai penting dan wajar diberi perhatian.
Blogger Perlu Diberi Peluang Belajar
Kalau saya boleh menambah, saya sarankan agar Umno dan mana-mana parti politik juga yang ingin menggunakan khidmat blogger secara berhemah, bermaruah dan membina selaras dengan cita-cita kita menjadi negara maju dan bertamadun tinggi agar mengambil langkah berikut:
Pertama, menaja blogger-blogger bukan wartawan untuk menghadiri kursus asas penulisan, undang-undang dan etika;
Kedua, blogger-blogger politik hendaklah menjawab hujah-hujah lawan dan bukan menyerang peribadi mereka, apatah lagi memfitnah; dan
Ketiga, blogger politik tidak akan dapat meyakinkan khalayak dan menarik sokongan kepada parti atau majikan mereka kalau mereka gagal mematahkan hujah lawan mereka dengan mengemukakan hujah yang kukuh dan bernas.
Kaedah membunuh pembawa khabar (messenger) tidak akan berkesan kalau khabar (message) yang dibawanya tidak dipatahkan. Pembawa khabar mungkin terkorban, tetapi khabar yang dibawanya akan terus tersebar.
Saya harap berita Ibdillah hendak “engage” (berbincang) dengan blogger bukan sekadar indah khabar daripada rupa. Kalau Pemuda Umno dan Puteri Umno yang mewakili generasi celik ICT dalam Umno tidak berani menjalin saringan dengan blogger dan pengamal media baru, mereka dan parti mereka akan ketinggalan.
Sejak saya membuka blog ini pada tahun bulan Mac 2006, saya boleh bilang dengan jari orang politik, wakil kerajaan, kementerian dan agensi yang membuat jaringan dengan saya sebagai blogger.
Seingat saya, hanya dua orang menteri, iaitu Mustapa Mohamed dan Ahmad Shabery Chik yang menjemput saya berbincang dalam kapasiti saya sebagai blogger.
Manakala di kalangan agensi kerajaan pula, hanya Khazanah Nasional Berhad (mengenai TPPA) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) yang mengiktiraf saya sebagai blogger. Hanya Mustapa dan MACC sahaja mengadakan pertemuan terancang dan berkala dengan blogger.
Khusus mengenai blogger Umno, sama ada yang mendapat upahan atau yang menyokong parti secara sukarela, kini muncul trend di mana ada antara mereka yang saling serang-menyerang dan sabotaj-mensabotaj.
Ramai blogger wartawan dan bukan wartawan menyedari bahawa pada akhir-akhir ini ada pihak yang membuka blog tanpa nama (anonymous) yang nampak seakan-akan blog Pakatan Rakyat, tetapi kandungannya adalah memburuk-burukkan Umno dan orang Umno sendiri. Kegiatan ini lebih rancak ketika pemilihan parti.
Jika benar sangkaan bahawa ini adalah kerja beberapa orang “handler” pemimpin Umno sendiri maka aliran ini sangat berbahaya kepada Umno dan kerajaan.
Pentingnya Latihan dan Etika
Selama 24 tahun saya di New Straits Times Press (1976-2000) latihan dan “mentoring” adalah antara keutamaan saya. Alhamdulillah, hari ini ramai penggiat media adalah mereka yang saya anggap sebagai anak buah dan anak didik.
Kita ada dua modul latihan. Satu dipanggil Pre-Entry Training Scheme (PETS) yang berupa versi kita untuk Program Graduan Menganggur yang dilancarkan oleh kerajaan ketika krisis ekonomi pertengahan 1980-an.
Kita memberi latihan kewartawanan kepada lulusan sekolah menengah, pemegang diploma dan graduan. Mereka diberikan elaun bulanan. Selepas tiga bulan, yang cemerlang diambil bekerja dengan NSTP dan STMB (TV3) manakala yang lain menggunakan sijil yang kami keluarkan untuk mencari kerja. Boleh dikatakan semua mendapat kerja.
Ramai pelatih PETS kini mendudiki tempat penting dan kerusi panas dalam banyak pertubuhan media massa, pejabat menteri, kementerian dan syarikat swasta.
Ramai pelatih PETS kini mendudiki tempat penting dan kerusi panas dalam banyak pertubuhan media massa, pejabat menteri, kementerian dan syarikat swasta.
Program kedua dikenali sebagai Writers’ Blog. Melaluinya kami melatih remaja semuda 12 atau 13 tahun menulis. Saya amat bangga dengan kejayaan ramai daripada mereka.
Hari ini, ada yang menjadi penulis dan penerbit filem, personaliti TV, filem, muzik dan pengiklanan seperti Amir Mohamad, Nadiah Hamzah, Syarifah Aleya, Kassandra Kassim, Syarifah Armani, Angeline Ong, Joe Flizzow, Rina Omar, Fariz Azlan dan banyak lagi.
Malah yang menjadi profesional bidang lain pun terus menulis seperti Dr M Murali. Kemudian Tan Eng Seng yang khabarnya menjadi salah seorang Vice President di Sime Darby, Ariff Salman (Agensi Angkasa Lepas Amerika, NASA) dan Johan Rozali Watooth (akauntan).
Malah yang menjadi profesional bidang lain pun terus menulis seperti Dr M Murali. Kemudian Tan Eng Seng yang khabarnya menjadi salah seorang Vice President di Sime Darby, Ariff Salman (Agensi Angkasa Lepas Amerika, NASA) dan Johan Rozali Watooth (akauntan).
Malangnya program dan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dimatikan atau dibekukan apabila Abdullah Ahmad Badawi menghantar pasukannya untuk mengendalikan NSTP/TV3 ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dalam konteks latihan dan etika inilah saya menaruh harapan kepada orang seperti Khairy dan Ibdillah untuk mengembalikan kewarasan, etika dan ketamadunan kepada dunia penulisan dan pemikiran, khususnya dalam sfera blog Umno dan pro-Umno.
Hanya dengan itu sahaja saluran baru ini dapat dimanfaatkan demi agama, bangsa dan negara.
Kebimbangan saya ialah mungkin bukan dalam penggunaan blog saja Umno dan kerajaan bermasalah. Percubaan menggunakan Facebook dan Twitter pun mungkin belum mencapai matlamat yang diharapkan sebaliknya membawa padah menjadi senjata makan tuan.
Kebimbangan saya ialah mungkin bukan dalam penggunaan blog saja Umno dan kerajaan bermasalah. Percubaan menggunakan Facebook dan Twitter pun mungkin belum mencapai matlamat yang diharapkan sebaliknya membawa padah menjadi senjata makan tuan.
Wallahuaklam. http://kadirjasin.blogspot.com