Zaini Ghani
KUALA LUMPUR- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Sohaimi Shahadan hari ini menggesa supaya Menteri Besar Selangor mengotakan janji yang dibuat berkaitan pembatalan penutupan Pusat Giat Mara di Selayang.
Sohaimi yang juga dilantik sebagai Jawatankuasa Badan Bertindak Khas isu itu berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim harus turun padang untuk melihat sendiri sebarang tindakan yang dilaksanakan bagi mengelak sebarang bentuk salah faham dan kecelaruan maklumat.
"Kita minta supaya Menteri Besar turun padang untuk melihat sendiri sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan.
"Saya percaya maklumat yang disampaikan tidak betul barangkali kerana ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh," katanya.
Sohaimi berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media yang di adakan di Pusat Giat Mara Selayang, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, Jawatankuasa Badan Bertindak Khas akan terus memainkan peranan dalam memantau perkembangan isu ini dari semasa ke semasa meskipun ada pengumuman pembatalan penutupan dibuat dari Menteri Besar Selangor.
Dalam pada itu, Khalid Ibrahim turut mengenakan syarat ketika mengumumkan pembatalan penutupan tersebut di mana pihak kerajaan negeri akan mengambil alih tanah di kawasan itu sekiranya pihak Giat Mara tidak meningkatkan prasarana dan infrastruktur mereka dalam masa setahun.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu itu, Sohaimi menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis pengosongan tapak Giat Mara sebagai 'ada udang di sebalik batu' berikutan lokasi tapak yang dikatakan agak kurang menarik untuk dibangunkan menjadi tapak industri berasaskan penerbangan.