Kalimah ALLAH


KUALA LUMPUR - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menggunakan kekuatan penyelidikannya untuk membentang fakta dan membidas hujah pihak-pihak tertentu berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH.
  
Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penyelidikan rapi dan meluas melibatkan isu-isu Islam dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama institusi Islam lain seperti Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac).
  
Katanya, ini memastikan tidak ada ruang yang membolehkan pihak tertentu mengelirukan akidah umat Islam di negara ini.
  
"Kita perlu berpegang kepada penyelidikan yang jelas. Kalimah ALLAH tidak terkandung di dalam mana-mana kitab sama ada Zabur, Taurat atau Injil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jami'il Huda, Ampang di sini hari ini.
  
Mahkamah Rayuan sebelum ini membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan majalah The Herald. Penerbit majalah itu telah membawa perkara ini untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan yang dijangka bersidang dan membuat keputusan pada 24 Februari ini.

Isu itu terus menarik perhatian apabila pengarang The Herald Paderi Katolik Lawrence Andrew dilaporkan bertegas bahawa gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan larangan itu.
  
Selain itu, Jais merampas lebih 300 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab berkenaan, dalam serbuan terhadap PBM di Petaling Jaya awal bulan ini.
  
Mengulas tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jais mendapatkan pengesahan Kementerian Dalam Negeri berhubung status naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas itu, Rais berkata Khalid mungkin tidak mendalami undang-undang negeri itu sebelum mengeluarkan arahan.
  
Menurutnya, ini kerana undang-undang Selangor ada memperuntukkan pihak berkuasa negeri boleh menggunakan kuasa tanpa waran untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan istilah yang boleh meragukan dalam konteks Islam.
  
"Ada disenaraikan 26 istilah itu dan satu daripadanya ialah kalimah Allah," jelasnya.   - Bernama