Sering berlaku apabila seseorang menulis atau bercakap mengenai ketika zaman kegemilangan pemimpin Malaysia, ia adalah pengalaman pahit manis untuk semua rakyat negara bertuah ini.
Kita bangga melihat individu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin, Tun Abdul Razak Hussein, dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang suatu ketika dahulu merangka arah tuju Malaysia.
Setiap rakyat mempunyai kemahuan untuk melihat individu yang penuh integriti, prinsip dan keadilan.
Namun, malangnya individu seperti itu tidak lagi wujud dalam kerajaan ketika ini sebaliknya dipenuhi dengan individu yang lemah dan mempunyai selera rakus serta pentingkan diri sejak sekian lama.
Tanpa ragu-ragu, Razak mungkin melakukan kesilapan atau tidak, pada suatu ketika terpaksa memenuhi kepentingan parti sendiri. Bagaimanapun, mereka mencintai tanah air ini melebihi segala-galanya. Bukan semata-mata mengayakan ahli keluarga mereka. Bukan sekadar membiakkan kapitalisme kroni.
Pada hari ini 38 tahun lalu, Razak meninggal dunia di London.
Anak bongsunya, Datuk Seri Nazir Razak, menulis suara hatinya mengenai legasi perdana menteri kedua itu dan menawarkan pelan kepada semua yang berminat untuk mengelakkan negara ini daripada terus runtuh dan menjadi tempat tinggal selamanya kepada rakyat biasa.
Berikut adalah beberapa pengajaran untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mereka yang berada di atas singgahsana Putrajaya.
1) Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah milik rakyat. Oleh itu, tidak ada justifikasi untuk membelanjakan berjuta-juta semata-mata mengubah suai Sri Perdana setiap kali PM baru dilantik.
Tiada justifikasi untuk mempunyai sikap angkuh dalam setiap kos projek penswastaan yang meningkat naik.
Sebagai contoh, projek KLIA2 akan menyebabkan pembayar cukai terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM5 bilion, lebih dua kali ganda daripada kos awal yang diperuntukan. Adakah Najib bimbang? Tidak. Adakah akan ada siasatan serius dalam kemelut ini? Tidak.
Kereta api berkelajuan tinggi pula akan menelan belanja pembayar cukai sebanyak RM30 bilion sekurang-kurangnya.
Tiada siapa dapat bayangkan Tan Siew Sin atau Tun Dr Ismail akan membenarkan kos tidak munasabah ini diteruskan atau menutup mata daripada pencurian ini.
2) Hadkan penglibatan keluarga dalam urusan pentadbiran negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan bangganya di Parlimen mempertahankan penggunaan jet kerajaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor untuk menghadiri beberapa majlis di Timur Tengah.
Beliau berkata, Rosmah aset kepada Malaysia. Cuba bayangkan? Kerajaan mempunyai kementerian luar yang dipenuhi dengan kakitangan dan menteri luar yang sangat mengalu-alukan perjalanan untuk tujuan kepentingan negara.
Penglibatan keluarga dan rakan dalam menggubal dasar atau keputusan perniagaan sering mendorong kepada polisi yang longgar dan keputusan melibatkan kontrak dan projek.
Lebih buruk lagi, ia sering membawa kepada maklumat rahsia dan sensitif dibocorkan kepada individu yang tidak mempunyai sebarang urusan dan berkaitan.
Cuba kira berapa pasangan, adik beradik dan anak-anak menteri menjadi sangat kaya hasil kontrak penswastaan, kontrak yang diberikan kepada menteri.
Untuk berlaku adil, ia juga adalah penyakit ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi semasa menjawat jawatan perdana menteri.
3) Komitmen untuk membina sebuah negara dengan setiap warganegara dapat mencari tempat berteduh di Malaysia.
Sekarang timbul satu komitmen untuk kekal berkuasa walaupun ia hanya akan menyebabkan negara lebih cepat musnah.
Pemikiran konvensional dalam Umno mengatakan Malaysia melalui tempoh tidak stabil dalam hubungan kaum berpunca daripada Abdullah kerana membenarkan terlalu banyak perdebatan melibatkan isu-isu sensitif. Ia hanyalah separuh benar.
Dalam era baru internet, Abdullah tidak mempunyai banyak pilihan tetapi melonggarkan kawalan. Ia kemudian disusuli dengan pertukaran yang meluas dalam segala-galanya, daripada gaya hidup seorang jutawan hingga kepada kontroversi berita blogger seks.
Bagaimanapun, perubahan sumber maklumat baru ini tidak pula diikuti secara selari di kalangan pemimpin negara yang tidak bersedia untuk berkongsi dengan rakyat negara apatah lagi dengan penyokong pembangkang.
Walaupun Nazir menulis tentang "ketegangan antara etnik" berada pada tahap membimbangkan, ia sebenarnya berpunca kerana pemimpin negara membenarkan ahli politik picisan menentukan corak kerajaan berfikir daripada sudut kaum dan agama.
Punca utama ialah: ahli politik Umno masih percaya orang lain bukan sebahagian daripada negara ini. Oleh sebab itu, mereka masih menyuruh orang Cina dan India untuk pulang ke negara asal mereka apabila sesuatu dasar atau keputusan kerajaan tidak dipersetujui.
Nazir pasti berfikir dengan mendalam semasa menulis panjang lebar tentang luahan mengenai legasi yang ditinggalkan bapanya, sambil menyebabkan orang ramai membuat kesimpulan, beliau sedang memberikan tutorial kepada abangnya untuk menyelamatkan negara ini.
Pengkritik mencela ia sudah terlambat dan penulis blog Umno pastinya akan mengherdiknya dengan bahasa merapu dalam ancaman tidak masuk akal mereka.
Mungkin artikel ini satu pengajaran untuk semua rakyat Malaysia: Masa untuk tinggal di atas pagar sudah lama berlalu. Sudah tiba masanya mengorak ke hadapan untuk melindungi dan menjaga negara ini daripada terus tenggelam.