Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media mengenai kenaikan gaji perlu jika GST dilaksanakan kerajaan jangan berboros siapsedia GST & Kementerian Pertahanan teruskan kontrak kepada Awan Megah tanpa Bon Tanah di Ibu Pejabat PKR pada hari ini. - SINAR HARIAN/Zulfadhli Zaki
PETALING JAYA - PKR hari ini meminta jaminan kerajaan Pusat agar tidak menggunakan akta Perkhidmatan Air 2006 mengikut Fasal 114 secara sesuka hati ke atas rakyat negeri Selangor.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata demikian merujuk kepada keputusan yang dicapai oleh kerajaan Selangor dan Pusat berhubung isu pengurusan air di negeri ini.
Rafizi turut menggesa kerajaan Selangor lebih berhati-hati dalam isu pengambilalihan industri air yang disifatkannya "secara paksa" oleh kerajaan Pusat ini.
Menurutnya, jika kerajaan menggunakan kuasa di bawah Fasal 114 Akta, seluruh kuasa dan keputusan mengenai pembekalan air di Selangor dan Lembah Klang akan dikuasai Persekutuan sepenuhnya.
"Saya tidak rasa rakyat faham Fasal 114 ini. Malah ramai ahli politik yang tak faham kuasa akta ini.
"Fasal 114 membolehkan kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ambil alih sepenuhnya harta, perniagaan dan perjalanan harian sesuatu pemegang konsesi atas kepentingan negara.
"Ia beri kuasa sepenuhnya kepada Persekutuan dalam hal ehwal pengurusan pembekalan air di Lembah Klang," katanya pada sidang media, hari ini.
Jelasnya, jika pengambilalihan pengurusan air itu diteruskan, Persekutuan perlu memberi komitmen yang ditandatangani secara rasmi dengan kerajaan negeri untuk memastikan hal ehwal kebajikan rakyat Selangor dipertahankan.
"Pengurusan air hendaklah kekal di bawah pentadbiran Selangor melalui anak syarikat yang dipilih oleh Selangor. Fasal 114 beri kuasa penuh kepada menteri dan SPAN untuk uruskan termasuk memilih syarikat untuk kuasai keseluruhan aset air di Lembah Klang.
"Saya khuatir, jika tidak berhati-hati, Persekutuan akan memilih Puncak Niaga dan Syabas sebagai syarikat induk sekaligus menjadikannya monopoli air terbesar di Malaysia," katanya.
Menyentuh soal Projek Langat 2, Rafizi berkata, kontrak dan kos pelaksanaannya mestilah telus dan adil kepada rakyat Selangor.
"Pastikan projek ini telus dan adil. Kos pelaksanaan Projek Langat 2 akan menjadi kos tambahan kepada pembekalan air di Selangor dan Lembah Klang.
"Saya khuatir harganya akan melambung kerana kuasa melaksana adalah sepenuhnya di tangan kerajaan Pusat dan sudah tentu ia memberi kesan kepada tarif air Selangor kelak," katanya.
Rafizi juga menyentuh soal jaminan tiada kenaikan tarif air ekoran melalui akta itu, kerajaan berkuasa penuh memeterai kembali apa-apa perjanjain dan kadar baru tarif air di Selangor dan Lembah Klang.
"(Kerajaan perlu berikan) jaminan bahawa tiada kenaikan tarif air dalam tempoh enam tahun sehingga 2020 dengan memberi tumpuan kepada masalah air bocor.
"Saya khuatir keadaan ini dimanipulasi untuk menghukum rakyat Selangor dan kenaikan tarif air yang selama ini ditolak oleh kerajaan negeri Selangor akan dilaksanakan," katanya.