MALAYSIAKINI
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata tuntutan untuk menambahbaik pilihan raya melalui demonstrasi kurang berkesan buat masa ini memandangkan pilihan raya umum seterusnya akan hanya berlangsung dalam tempoh lima tahun.
Maria yang baru dipilih ke jawatan tersebut pada November lalu turut menegaskan bahawa demonstrasi tidak akan menyelesaikan semua masalah dan kepincangan sistem pilihan raya negara.
"Dalam masa tiga tahun sebelum ini, kita dengar banyak khabar angin tentang tarikh pilihan raya umum dan ia membantu membentuk momentum (demonstrasi).
"Tetapi sekarang pilihan raya seterusnya hanya akan berlangsung dalam masa lima tahun.
"Kita perlu bina semula momentum itu dan demonstrasi juga tidak akan menyelesaikan semua (kepincangan pilihan raya).
"Kita mungkin akan dapat publisiti tetapi akhirnya yang paling penting adalah apakah kesan daripada perhimpunan itu?," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Beliau juga bimbang dengan sambutan orang ramai yang menurutnya "penat" apabila kerap turun ke jalan raya untuk berhimpun sebelum ini.
Katanya, beliau merancang agar BERSIH "berundur selangkah ke belakang", untuk melihat usaha yang telah dilakukan sebelum ini.
Tambahnya, ini akan menjadi "persediaan" kepada BERSIH untuk menggunakan peluang dalam dua tahun akan datang untuk mendidik pengundi dan memberi kesedaran kepada orang ramai.
Jelasnya, sejak November lalu BERSIH menjelajah ke empat negeri dan mengadakan latihan tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bila-bila masa.
"Berhimpun ini cuma satu daripada strategi untuk mendesak tuntutan kita dipenuhi tetapi kita tak bolehlah mengadakan perhimpunan sepanjang masa.
"Kita harap melalui latihan-latihan yang dijalankan, mesej kita akan disebarkan orang ramai.
"Tentunya khidmat nasihat ini akan mengambil sedikit masa tetapi kita juga tidak menolak kemungkinan untuk berhimpun tetapi perlulah ada sebab untuk mengadakannya.
Buat masa ini saya tidak lihat kita ada sebab untuk berbuat demikian," katanya.
Maria merupakan satu-satunya calon yang dinamakan untuk jawatan itu dalam pemilihan gabung NGO yang menuntut pilihan raya bersih dan adil tersebut, November lalu.
Beliau sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH dan bergerak sebagai aktivis hak wanita yang aktif menerusi NGO Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).