Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Haram Comango; hanya sembunyi sampah bawah karpet

$
0
0



Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


Pada 8 Januari 2014 , Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan mengharamkan suatu gabungan NGO yang dinamai Comango. Pada pandangan saya, pengharaman tersebut tidak akan sekali-kali mematikan apa yang diperjuangkan selama ini oleh pertubuhan-pertubuhan yang bergabung di bawah nama Comango tersebut.

Apatah lagi alasan tunggal pengharaman Comango ialah selain Comango itu tidak berdaftar, terdapat pertubuhan-pertubuhan yang bersama Comango tersebut turut tidak berdaftar. Dengan mengemukakan alasan dangkal ini, ia jelas bertentangan dengan mod keputusan perundangan mutakhir ini yang berpaksikan kepada pelbagai dokumen-dokumen antarabangsa dan domestik.

Saya tegaskan bahawa pandangan Comango dan gabungan pertubuhan yang bersamanya adalah satu isu yang khusus. Peka kepada apa yang dibawa oleh Comango bukan bermakna kita bersetuju sepenuhnya dengan mereka. Yang ingin saya nyatakan di sini adalah cara atau kaedah kerajaan atau KDN mendepani isu-isu kritikal yang kian melata.

Selain pelbagai hak rakyat kian dijelmakan melalui Perlembagaan Persekutuan, apakah KDN alpa tentang pelbagai gerakan masyarakat sivil hari ini yang tidak mungkin dimatikan dengan sekadar menghisytiharkan ianya haram? Yang disebut sebagai (civil society organisation, CSO) kian popular dan menjadi wadah terkini masyarakat dewasa ini.

Jika pun KDN tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh Comango, pengharaman yang dilakukan sekali-kali tidak akan mematikan kewujudan Comango. Kesimpulan yang boleh saya katakan, pengharaman Comango adalah suatu kesilapan dalam bertindak.

Dalam mendepani isu-isu seperti Comango, kerajaan atau KDN perlu pelbagaikan kaedah  dan tidak hanya bergantung kepada kaedah pengharaman semata-mata. Perlaksanaan undang-undang yang keras tidak akan menyelesaikan pertikaian bahkan ia akan mencambahkan lagi tentangan terhadap pendirian kerajaan.

Apakah isu sebenar yang dibawa oleh Comango baru-baru ini? Yang jelas, masyarakat terlalu dimomokkan bahawa gabungan Comango bersifat menentang Islam, dan melaungkan amalan seks bebas termasuk gay dan lesbian yang dikenali dengan kumpulan LGBT.

Yang paling jelas, siri tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan Comango adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan dibuat atas dasar suka-suka tanpa nas perundangan yang sahih, termasuklah hak berkaitan agama itu sendiri.

Dalam isu agama dan Islam misalnya, jikapun mereka menuntut kebebasan beragama termasuklah hak orang Islam bertukar agama, satu persoalan yang perlu saya dan sekalian muslim bertanya, sejauhmanakah kita mempamerkan sucinya Islam dalam memelihara aqidah penganutnya?

Hanya Islam yang meletakkan suatu halangan mutlak kepada penganutnya untuk tidak meninggalkan Islam. Namun apakah usaha-usaha yang cukup proaktif telah kerajaan lakukan bagi memelihara kesucian Islam dari noda-noda murtad di Negara ini?

Demikian juga kedudukan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan agama yang menjadi ukuran dalam perundangan hari ini adalah turut dipengaruhi oleh sifat Islam sebagai agama persekutuan itu sendiri. Di manakah usaha proaktif kerajaan bagi menonjolkan Islam itu bukan sekadar dogma agama sepertimana agama lain? Masyarakat umum termasuklah mereka yang berada dalam kelompok intelek begitu jarang ditampilkan bahawa Islam itu suatu cara hidup dan bukan sekadar agama peribadatan.

Bila keadaan ini berlaku, Islam dilihat sama seperti agama-agama lain iaitu suatu dogma spiritual atau kerohanian semata-mata tanpa ada nilai-nilai kehidupan yang menyeluruh. Usah diberi alasan betapa kita mempunyai jabatan khusus bagi memelihara Islam dan adanya pelbagai sistem perbankan dan kewangan Islam.

Begitu juga dalam hal pertikaian penjagaan anak apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Dalam suasana langit terbuka hari ini, masyarakat terutamanya bukan Islam mencari-cari di manakah nilai keadilan Islam apabila kes sebegini berlaku.

Sekali lagi kerajaan melalui sistem perundangan yang ada gagal member ruang kepada masyarakat bukan Islam melihat nilai keadilan Islam untuk mereka. Kedudukan mahkamah syariah yang tidak terbuka untuk bukan Islam misalnya menambahkan lagi sempitnya Islam kepada bukan Islam.

Begitu pula halnya dengan isu jantina yang kita sebut sebagai kumpulan LGBT. Pernah saya menulis dalam salah satu ruang dalam Harakah betapa kumpulan LGBT ini berhadapan dengan suatu krisis biologi yang sukar. Saya lontarkan suatu pertanyaan untuk sama-sama kita renungkan, siapa yang pernah peduli tentang mereka?

Sekali-kali bukan hasrat saya untuk membenarkan setiap apa yang mereka lakukan. Namun kecuaian umat Islam terhadap saudara-saudara kita terutamanya yang berada dalam perangkap psikologi dan biologi ini telah menjadikan mereka mencari tempat untuk bergantung dan mengadu hal. Harus kita berhati-hati bahawa isu LGBT bukan hanya berkisar hubungan seks sejenis atau seks rambang. Ia lebih kompleks dari apa yang diwara-warakan kepada masyarakat.

Justeru, apabila KDN menunjukkan ketegasan dengan mengisytiharkan Comango sebagai haram, suatu kebimbangan yang bermain di fikiran saya adalah sejauhmanakah kesediaan kita sebenarnya mendepani isu-isu yang dibawa oleh gabungan ini. Isu berkaitan Islam, murtad, dan LGBT adalah sebahagian kecil sahaja yang dibawa oleh Comango.

Lebih dari itu, Comango mengemukakan pelbagai isu rakyat yang selama ini hanya dilihat sebagai terpencil dan terpisah. Pertikaian agihan kekayaan Negara, kelangsungan sistem keadilan dalam negara dan pencabulan berterusan terhadap hak-hak asasi rakyat adalah antara sekian banyak isu-isu yang turut dikemukakan tetapi dipadamkan begitu saja daripada diberi perhatian oleh masyarakat umum.

Yang jelas, tanggungjawab memelihara kesucian Islam bukan hanya keupayaan kita mengisytiharkan sesuatu itu halal atau haram. Jauh dari itu ialah keupayaan kita melaksanakan nilai-nilai Islam yang selama ini jauh dari perhatian kerajaan yang ada. Begitu juga dengan pelbagai isu rakyat. dengan gaya hidup yang cukup eksklusif yang ditonjolkan oleh pimpinan negara, adakah kita sebenarnya membuat setiap keputusan agihan kekayaan atas dasar tanggungjawab atau pun sekadar belian untuk memperkukuhkan kuasa yang ada?

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722