SHAH ALAM - Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengesahkan bahawa tiada pertemuan khas berlaku antara beliau dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendapatkan sokongan terhadap kepimpinan menteri besar itu.
Beliau yang ditemui pemberita di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang pertemuan itu - seperti disebut Abdul Khalid semalam.
"Sejak jam 9 pagi tadi saya mempengerusikan tiga mesyuarat selama empat jam, antaranya mesyuarat berkenaan masalah denggi dan sebagainya.
"Setiausaha saya pun tidak menerima sebarang temujanji tentang pertemuan itu," katanya.
Semalam, Abdul Khalid memberitahu beliau akan menemui Exco DAP Dan PKR Selangor untuk bertanyakan sokongan mereka kepada beliau selepas dipecat keahliannya dari PKR pada Sabtu.
Ditanya tentang mesyuarat mingguan Exco, Chang Kim berkata ia akan dijalankan seperti biasa esok.
"Saya sudah terima notis tentang mesyuarat Exco dan ia akan dijalankan seperti biasa," katanya.