Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Zahid: ISA tak mungkin diwujudkan semula

$
0
0

MALAYSIAKINI


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak mungkin mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  
Sebaliknya kata beliau, kerajaan mungkin meminda akta sedia ada atau menggubal akta baru yang bersesuaian jika perkara itu dirasakan perlu.
  
"Apa yang dinyatakan oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) mempunyai elemen-elemen yang boleh diperkirakan tetapi bukan mudah untuk menghidupkan semula ISA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Rela Malaysia Peringkat Kebangsaan ke-42 di Bagan Datoh hari ini.
  
Beliau juga berkata andai akta seumpama diadakan, undang-undang itu bukan bertujuan menahan mereka yang berbeza pandangan politik, sebaliknya untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pertimbangannya dalam meneliti pandangan yang diberi oleh pelbagai pihak berhubung isu itu, katanya.
  
Beliau mengulas saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar ISA diwujudkan semula bagi menangani kumpulan ekstremis yang mahu menjejaskan kestabilan negara.
  
Saranan Dr Mahathir turut disokong oleh Khalid.

Sementara itu, Zahid berkata, operasi memburu pendatang tanpa izin (Pati) yang akan bermula 21 Januari ini tidak terhad di kawasan ladang, kilang atau projek pembinaan tetapi turut bertumpu di premis perniagaan.
  
Menurutnya, operasi juga akan dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan warga asing tanpa izin. Operasi besar-besaran ini akan bermula 12.01 tengah malam 21 Januari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid meminta mereka yang berkenaan agar tidak memperlekeh peranan Rela atau Pasukan Sukarelawan Malaysia yang banyak berkhidmat kepada rakyat.
  
"Rela merupakan duta kecil negara dan denyut nadi rakyat. Rela berkhidmat untuk rakyat di majlis kerajaan, (majlis) politik kerana Rela sentiasa berada di barisan hadapan.

"Jangan bila perlukan Rela baru nampak Rela, jika perlu bantuan baru panggil Rela. Rela tidak rela diperkecilkan, Rela mahu bersama-sama rakyat," katanya.
  
Selain itu Ahmad Zahid berkata pihaknya akan menubuhkan dua lagi pusat latihan Rela sebagai tambahan kepada empat yang sedia ada.
  
Dalam majlis itu beliau turut melancarkan pakaian Operasi Digital dan logo korporat Jabatan Sukarelawan Malaysia.- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722