Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Sejauh manakah PAS akan perjuangkan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor?
Sejauh mana pula PAS sanggup mempertahankan wibawa Khalid yang diyakininya “tidak punya dosa politik dan tidak curang menjalankan amanah”?
Adakah demi mempertahankan nama baik Khalid maka PAS bersedia untuk berpatah arang berkerat rotan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat?
Cuma PAS yang menjawab persoalan yang ditimbulkannya sendiri. Jika PAS mengambil pendirian seperti DAP kemelut kerusi Menteri Besar Selangor sudahpun dapat diselesaikan Ahad, 10 Ogos lalu.
Bagaimanapun nampaknya bertekad untuk memilih jalan sukar dan mencabar hanya untuk memelihara nama baik Khalid Ibrahim seorang yang bermasalah dalam partinya PKR.
Kini PKR sudah mentalak Khalid. Adakah PAS akan melamarnya untuk menokok bilangan kerusi Dewan Undangan Negerinya menjadi 16 dan berharap Khalid mampu membawa seorang dua ADUN PKR untuk mengiringinya bermunakahat dengan PAS.
Lantas jika digunakan salah satu senario yang diilhamkan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, ia mampu menerajui Selangor dengan sokongan 29 atau mungkin 30 ADUN daripada 56 yang ada.
Dengan cara itu, PAS pasti berupaya meletakkan Khalid terus menjadi Menteri Besar Selangor hingga pilihanraya umum ke-14 yang dijangka pada 2018.
Persoalannya, jika Selangor menjadi negeri PAS, sanggupkah ia menghadapi pembangkang dalam bentuk PKR dan DAP?
“Seandainya PAS bersendirian kita menerima, maknanya itu sejarah yang disebut oleh Tok Guru Nik Aziz, laluan PAS bukan mudah.
“PAS pernah bersendirian, pernah dengan Barisan Nasional dahulu, pernah dengan Pakatan Rakyat dan pernah bersama Semangat 46, laluan kita sudah begitu,” kata Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yakob.
Namun persoalannya adakah semudah itu PAS menghadapi krisis ini? Yang jelas masih ramai ahli dan pemimpinnya loya dan jijik dengan kemungkinan itu.
Pengarah Pilihanrayanya, Datuk Dr Hatta Ramli bingkas menyatakan pendiriannya bahawa jika mahu bekerjasama dengan Umno, “I am out”.
Justeru tidaklah begitu mudah untuk PAS menyusur jalan politiknya sendiri, terutama di Selangor. PAS harus insaf untuk mengekalkan kedudukannya sekarang di negeri itu ia masih memerlukan PKR dan DAP.
Peningkatan kemenangannya yang hampir 100 peratus dalam pilihanraya ke-13 di negeri itu adalah didorong oleh sentimen “Asal Bukan Umno” (ABU). Sentimen ini dibina bersama DAP dan PKR.
Sanggup dan mampukah PAS memacu sentimen ini jika ia memilih untuk bekerjasama dengan Umno. Bagaimanakah PAS mahu dan mampu menjelaskan bahawa Umno itu bobrok kecuali Umno Selangor?
Jika ia berkongsi kuasa dengan Umno tidakkah mudah untuk pembangkang (PKR dan DAP) menyebarkan persepsi baru bahawa dek kemaruk kuasa PAS sanggup menjadikan isu “wibawa” Khalid untuk “menghalalkan cara politiknya?”.
Tidakkah terlintas di benak pemimpin dan strategi PAS bahawa senario seumpama itu akan menular ke negeri-negeri lain sehingga boleh menjejaskan peluang PAS menakluki negeri-negeri lain, termasuk Kelantan?
PAS tentu insaf prestasi baiknya dalam dua pilihanraya umum lalu ialah kerana secara langsung atau tidak DAP berjaya mengerahkan roh ABU bukan Melayu supaya menolak Umno dan akhirnya BN.
Wajarkah dan mampukah PAS mempertahankan “kelebihan” politik ini dengan menggugurkan laba politik dari kempen ABU itu hanya untuk mempertahankan Khalid?
Tambahan pula kini PKR sudah mula mengungkit bahawa ketegangan mula berlaku dalam Pakatan Rakyat apabila PAS bercadang mengemukakan usul persendirian berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.
Sudah pasti lebih banyak yang akan diungkit oleh PKR dan DAP berhubung betapa tidak budimannya perangai politik PAS. Malah pasti akan timbul tanda tanya, mengapa PAS sentiasa gagal menjalin kerjasama politik dengan parti lain?
Adakah semua parti lain – Umno-BN, Semangat 46 dan DAP dan PKR – adalah parti tidak jujur? Dalam dalam perkataan lain, hanya PAS sahaja parti yang jujur dan tiada pernah melakukan dosa politik?
Anehnya apabila Khalid muktamad dipecat dari PKR Sabtu lalu, PAS segera mengarahkan ahli dan pemimpinnya usah mencampuri halehwal rumah tangga PKR.
Walhal bila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian peribadinya menjelang aidilfitri lalu mahu mempertahankan Khalid sebagai Menteri Besar, tidak pula PAS terfikir bahawa Khalid sebenarnya hanya berkonflik dengan PKR!
Mutakhir sekali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap kredibiliti Pakatan Rakyat akan hancur jika PAS menerima masuk Tan Sri Khalid Ibrahim semata-mata untuk mendapatkan kerusi menteri besar Selangor.
"Adalah amat menjengkelkan bagi sesiapa cuba menangguk di air keruh dengan melayan kemungkinan Khalid menyertai PAS atau DAP supaya PAS atau DAP boleh menuntut kerusi MB Selangor,” kata beliau.
Lim berkata keutamaan parti komponen tidak harus menjurus siapa mempunyai kerusi paling banyak dalam DUN Selangor tetapi bagaimana untuk memulihkan imej PR yang tercalar teruk.
Beliau memberi reaksi pelawaan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yaakob bahawa PAS terbuka kepada Khalid menyertai PAS setelah beliau dipecat oleh PKR.
PAS masih ada enam hari lagi untuk menyatakan pendiriannya dalam isu ini. Ahad ini ia benar-benar perlu bersikap jujur sama ada mahu berjuang sendirian, bekerjasama dengan Umno atau kekal dalam Pakatan Rakyat.
Bagi majoriti rakyat, termasuk yang Islam dan bukan Islam, kabut kecurigaan mula menutupi pandangan mereka ke atas ketulusan PAS berpolitik. Adakah kali ini ia nekad demi kebenaran atau sebenarnya bertindak tanpa berfikir panjang?