KUALA LUMPUR - Badan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin melancarkan program Bulan Kemarahan Ummah, semalam, bertujuan menggesa masyarakat antarabangsa turut serta menyelamatkan Gaza dari terus bermandi darah akibat keganasan Zionis Israel.
Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Bulan Kemarahan Ummah dianjurkan selama sebulan sebagai tanda solidariti umat Islam.
“Perkataan ‘kemarahan’ yang digunakan adalah mesej kebangkitan rakyat negara ini terhadap kebiadaban Israel membunuh penduduk awam. Ia jelas menunjukkan rakyat Malaysia mahu kekejaman itu dihentikan.
“Kami tidak akan berdiam diri terhadap jenayah yang dilakukan (Israel),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kemarahan Ummah, semalam.
Pada majlis itu, kira-kira 2,000 rakyat negara ini berhimpun bagi menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap tindakan kejam tentera Zionis Israel.
Sementara itu, menurut Aman Palestin, antara kempen yang diatur sepanjang bulan ini adalah Kempen Boikot Aman McDonald's, Starbucks, HSBC; Busking Palestin, Rally Merdeka Palestin, Petisyen Sejuta Jiwa Berjuang untuk Gaza dan Toll2Gaza.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah wakil NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam, Yayasan Ikhlas, dan Kelab Perodua Viva.
Sempena kempen itu, Aman Palestin turut membuat lima tuntutan, termasuk mendesak Rusia dan China memberi tekanan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB demi kebebasan dan hak penduduk Palestin sebagai bangsa berdaulat.
Pertubuhan itu turut mendesak PBB membuka pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah dan menjadikannya laluan antarabangsa selain menggesa kuasa besar dunia membawa Israel ke mahkamah antarabangsa sebagai penjenayah perang.
Mereka turut mendesak agar Emiriyah Arab Bersatu menghentikan sumbangan ke atas Israel dengan memboikot syarikat penerbangan Emirates Airline serta menuntut semua negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dan dagangan serta memboikot produk yang menyumbang kepada Israel.
“Bagaimanapun tindakan tegas boleh dikenakan ke atas mana-mana individu yang didapati cuba mensabotaj kempen boikot dengan cara melakukan provokasi melampau sehingga boleh mengancam keselamatan awam terutama pekerja syarikat yang diboikot. Jaga akhlak dan patuhi undang-undang,” menurut Aman Palestin.