KUALA LUMPUR - Kerajaan Palestin menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan perubatan yang amat diperlukan oleh penduduk negara itu berikutan serangan udara besar-besaran oleh rejim Israel sejak bulan lepas.
Duta Besar Palestin ke Malaysia Dr Anwar H. Al Agha berkata negara itu amat berterima kasih dan mengharapkan sokongan padu Malaysia bagi membantunya meskipun kerajaan Israel mereka pelbagai cerita berkaitan sejarah Palestin.
"Kami harap Malaysia akan terus berdiri teguh di sisi kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri protes menerusi langkah memboikot barangan Israel di Jalan Masjid India di sini hari ini.
Berikutan peningkatan sokongan komuniti antarabangsa, Dr Anwar berharap situasi di Palestin ketika ini, yang berlaku sejak 66 tahun lepas, mampu diselesai dan ia akan menjadi sebuah negara yang merdeka suatu hari nanti.
Sejak Palestin diserang, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia bergabung bagi memprotes kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza.
Dalam perkembangan lain, Dr Anwar berkata satu delegasi dari Malaysia termasuk doktor perubatan akan berlepas ke Gaza tidak lama lagi.
"Insya-Allah, saya akan berada di sana bersama-sama mereka bagi memudahkan koordinasi," katanya. - Bernama