BOIKOT produk Israel, boikot juga produk Amerika, ini kalilah! Dengan perkembangan terkini di Gaza yang amat menyayat perasaan umat Islam, seruan memboikot semakin kuat dilaungkan di negara kita.
Seperti yang diketahui seluruh dunia, sebulan setelah serangan ke atas rakyat Palestin, tentera rejim Zionis semakin tidak peduli dengan kecaman antarabangsa. Dengan bom dan peluru mereka menggasak teruk umat Islam di Gaza.

Masjid, hospital, pusat pemulihan OKU, semua dibom. Hatta sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) pun tidak terkecuali daripada kedajalan tentera kafir laknat.

Angka kematian di pihak Palestin setakat semalam sudah melebihi 1,800 orang, termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak. Berpuluh ribu lagi cedera, dan kemusnahan harta benda sudah tidak terhitung lagi. Demikian kejamnya Israel!

Lebih menyakitkan hati ialah fakta bahawa Amerika Syarikat secara langsung dan tidak langsung memberi bantuan kewangan dan senjata canggih kepada Israel. Peluru dan bom diberikan kepada Zionis untuk membunuh umat Islam.

Seperti laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres berpusat di Washington yang dikeluarkan April 2014, Israel adalah penerima terbesar bantuan dari Amerika sejak Perang Dunia Ke-2.

Laporan itu menyebut setakat ini negara Barack Obama telah menyalurkan bantuan berjumlah USD121 bilion @ RM388 bilion, sebahagian besarnya dalam bentuk bantuan ketenteraan.

Amerika telah bersetuju pada 2007 untuk menyumbang pakej ketenteraan selama sepuluh tahun (2009-2018) bernilai USD3 bilion-USD4 bilion setahun (RM9.6 bilion-RM12.8 bilion) kepada Israel.

Kita tidak ada pilihan, kecuali perlu bersatu untuk mengajar Israel, juga Amerika. Selain ramai-ramai solat hajat dan berdoa, kita boikot produk mereka. Seperti yang dianjurkan Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr Musa Mohd Nordin:

“Pembabitan AS secara langsung dalam peperangan di Gaza wajar diberikan pengajaran. Orang ramai disaran untuk memboikot produk dari Israel dan AS secara besar-besaran.”

Dalam nada sama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyeru masyarakat di negara ini ‘berkorban’ dengan memboikot produk jenama yang ada kaitan dengan AS.

Malah, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman, menegaskan kecuali tiada pilihan lain, umat Islam negara ini wajib memboikot produk Israel. “Kita berdosa dan bersubahat sekiranya menyokong musuh yang memerangi Islam,” katanya kepada media.

Sama ada disedari atau tidak, sejak sekian lama kita hidup dan membesar bersama produk negara-negara berkenaan. Malah, bagai sesetengah orang kita barangan dan perkhidmatan keluaran Israel dan Amerika sudah menjadi budaya dan trend kehidupan harian. Dari hujung rambut hingga hujung kaki produk mereka telah lama menyelimuti tubuh.

Pakai kasut berjenama buatan mereka. Kemeja yang dipakai pun jenama mereka, walaupun tidak tertulis ‘buatan Israel’. Seluar dan jean yang kita sarung dengan megah itu pun keluaran mereka. Waima tali pinggang, tali leher, sarung kaki, sarung tangan, seluar dalam hatta cawat wanita pun kita pilih jenama mereka.

Wangian dan kosmetik pun orang kita guna jenama mereka. Konon guna minyak wangi tempatan tidak ada kelas. Brand mereka bau original, minyak wangi kita bau petai, bau jering, bau tempoyak. Prejudis terhadap produk sendiri selalu  menebal.

Kita ada alat solek tempatan, tetapi wanita berduit lebih senang – dan megah – dengan pelbagai brand Yahudi. Konon kalau pakai kosmetik tempatan, kulit akan menggerutu. Bagi sesetengah wanita kita brand penting sebab itu lambang status.

Demikian juga halnya dengan apa yang kita telan setiap hati. Semakin banyak makanan dan minuman dari Amerika dan Israel menjadi pilihan orang kita, walaupun diketahui tiada logo halal Jakim. Kita teguk dan kita kunyah sedangkan wang yang kita bayar mungkin digunakan membeli peluru dan bom untuk menyerang Gaza.

Mulakan boikot kita dengan berbalik kepada makanan tempatan. Tidak perlu makan ayam goreng orang putih, kita makan ayam percik yang dijamin bersih lagi halal. Jangan megah dengan burger luar negara, kita beli produk Ramly. Jangan asyik piza, jom kita tukar kepada lempeng. Kita boleh.