Oleh Shawaliah Hadir
KUALA LUMPUR: Aktivis pro-pembangkang, Hishamuddin Rais menyalahkan Presiden PAS sebagai penyebab kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tidak selesai sehingga hari ini.
Menurutnya tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim merumitkan keadaan walhal Ahli Parlimen Marang itu tidak mengetahui perkara sebenar.
Ini kerana Hadi sudah berkali-kali gagal hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR) bagi diberi taklimat mengapa Khalid perlu digugurkan daripada kerusi nombor satu Selangor itu, ujar Hishamuddin.
"Hadi dua bulan sebelum PRU13 tidak pernah datang mesyuarat. Sesudah berlakunya masalah Selangor ini pun tidak pernah datang mesyuarat, inilah dia Presiden PAS.
"Masalah besar ini diperlihatkan seolah-olah masalah PKR tapi ini masalah PAS. Keputusan telah dibuat.
Apa yang menjengkelkan ujar Hishamuddin, sebaik sahaja PKR mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti Khalid, Hadi secara terbuka menyatakan sokongan kepada Khalid untuk terus menerajui negeri itu.
"Mesyuarat Presiden bersetuju menggantikan Khalid dengan Wan Azizah tiba-tiba Hadi bersuara.
"Apabila keputusan telah diambil sebulat suara maka akurlah keputusan itu, kalau tidak mahu akur keputusan beramai-ramai jadi macam saya," katanya dalam FORUM: Krisis Selangor - Pakatan Berpecah? semalam.
Hishamuddin menambah, gerakan menjatuhkan Khalid dibuat ekoran tahap kepercayaan dan intergriti yang sudah hilang terhadap menteri besar itu.
Namun usaha itu melalui jalan sukar berikutan Khalid berkali-kali menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatannya dan akan berkhidmat kepada rakyat Selangor sehingga 2018.
PKR kemudiannya menerbitkan nota penjelasan 90 muka surat yang mengandungi dakwaan penyelewengan yang dilakukan Khalid dan ia adalah 'senjata' yang digunakan PKR untuk mendesak ADUN Pelabuhan Klang itu berundur.
Bagaimanapun, Khalid menafikan dakwaan yang didedahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
Tidak cukup dengan itu PKR semalam menghantar surat tunjuk sebab kepada Khalid berikutan keengganannya meletakkan jawatan.
Khalid diberi masa sehingga Jumaat ini untuk menjawab surat tersebut.
Hishamuddin turut mendedahkan Khalid sepatutnya berjumpa Azizah namun digagalkan bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin.
"Awalnya dipersetujui bahawa Khalid akan bertemu dengan Wan Azizah pada kelmarin kemudian saya dengar lagi telah dibatalkan.
"Siapa sebenarnya di belakang Tan Sri Khalid ini? Ada seorang perempuan... Inilah masalahnya...Faekah ini adalah penyokong tegar Khalid. Petang semalam setuju, tetapi malam Faekah kata jangan.
"Dia harus menjawab pada 8 Ogos dalam masa 3 hari Khalid wajib menjawab kenapa dia perlu terus jadi MB. Faekah, Arfa dan Khalid mereka sudah tentu berbincang mengapa Khalid terus jadi MB," ujarnya lagi.
Hishamuddin kemudiannya mengulas kesediaan Khalid untuk disiasat terhadap segala dakwaan penyelewengan dipalitkan PKR terhadapnya.
"Kenapa tidak dilaporkan kepada SPRM? Buka mata dan dengar telinga...saya nak cakap, Malaysia ini adalah negara dunia ketiga.
"SPRM itu untuk membunuh musuh politik bukan menyelesaikan masalah rasuah.
"Tidak perlu bawa kes ini kepada SPRM kerana SPRM itu akan mempertahankan Khalid Ibrahim," ujarnya.