Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Sangka buruk menghancurkan Pakatan

$
0
0



Oleh Timmy Say


Dr Zuhdi: Senario analisis yang pertama:
  
"Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi + TSKI + seorang lagi Adun PKR + 12 Umno, dah bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.

“Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana non Muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini.”

Jika kamu bersangka buruk pada PAS dan Dr Zuhdi Marzuki, ayat yang tertera di aplikasi Whatsapp AJK PAS Pusat yang terbocor di atas sudah cukup bagi kamu menghukum PAS dan Dr Zuhdi sebagai rasis, penipu dan juga pengkhianat kepada undi bukan Islam.

Reaksi kamu juga akan sama seperti Dr Hatta Ramli – yang terus membalas mesej Dr Zuhdi dengan nada sinis: “Kerjasama dgn Umno? I’m out” – 13 minit selepas membaca tulisan analisa Dr Zuhdi di Whatsapp itu.

Tulisan Dr Zuhdi ditulis pada 2:25 pagi manakala respon Dr Hatta yang belum tidur ketika itu ialah pada 2:38 pagi.

Apa yang dijawab Dr Zuhdi selepas itu, hanya mereka di Whatsapp AJK PAS PUSAT saja yang tahu.
Bagaimanapun, mari kita membuat analisa beberapa senario respon yang mungkin ditulis Dr Zuhdi, berdasarkan penjelasannya selepas isu ini meletup di media.

Senario pertama:

“Cool Dr (Hatta). Ana hanya sampaikan pendapat sebilangan penyokong kita yang percaya kedudukan Islam goyah di Selangor.”

Jika printscreen yang terbocor itu mengandungi respon Dr Zuhdi di atas, apakah media masih menyerangnya dengan gila-gila seperti yang berlaku ketika ledaknya Whatsapp tersebut?
Senario kedua:

“Hahahaha… itulah feedback yang ana dapat. Ana type balik di sini sahaja. Ana pun tak setuju sebab susah untuk dapatkan satu lagi Adun PKR untuk menjayakan senario ini.”

Bagaimana pula dengan senario kedua? Apakah mereka yang terbaca di atas akan mengangkat Dr Zuhdi sebagai hero pula kerana tidak bersetuju dengan senario pertama, yang mencadangkan PAS bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan di Selangor?

Senario ketiga:

“Tak habis type lagi Dr… letih semalam… itulah pandangan orang yang tak faham politik dan merasa frust pada serangan bukan Islam pada PAS. AJK PAS Pusat tidak akan setuju ini sebab prinsip TGNA dan TGHH adalah kekal di Pakatan Rakyat walau macammanapun. Ini sekadar tulis untuk makluman sahaja.

Apa pula kata mereka yang membaca respon ini? Apakah mereka yang berpandangan buruk pada PAS dan Dr Zuhdi?

Cepat menghukum

Cukuplah dengan tiga contoh senario itu yang selari dengan penjelasan Dr Zuhdi beliau bukan di antara mereka yang setuju untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.
Kita sebagai manusia suka cepat menghukum.

Kebelakangan sebulan dua ini, persepsi negatif terhadap PAS dibentuk oleh media pada minda orang bukan Islam melalui isu hudud di Kelantan dan juga kemelut menteri besar Selangor.

Oleh itu, apabila mereka terbaca mesej di printscreen Whatsapp AJK PAS Pusat yang terbocor itu, tanggapan mereka terus buruk pada PAS, dan terus membuat kesimpulan PAS sememangnya bersifat sedemikian.

Segala jasa PAS mempertahankan bukan Islam daripada dibuli mereka yang beraliran kanan yang pro-Umno selama enam tahun ini sejak tertubuhnya Pakatan Rakyat dilupakan begitu sahaja.

Sebagai rakan di Pakatan Rakyat, pemimpin DAP dan juga PKR harus bersangka baik dulu apabila terbaca printscreen Whatsapp AJK PAS Pusat yang terbocor. Soalan pertama yang harus ditanya ialah apakah apa yang ditulis Dr Zuhdi dibaca di luar konteks yang sepatutnya.

Malang. Oleh kerana tidak gembira dengan tindakan PAS, yang tidak bersetuju dengan langkah menukar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, maka printscreen Whatsapp yang bocor itu dibaca dengan penuh sangka buruk.

Sebelum penjelasan dapat diberikan, ada pemimpin DAP dan PKR sudah mendesak PAS mengambil tindakan pada Dr Zuhdi, tanpa memberikan PAS dan pemimpinnya ‘the benefit of the doubts’ meskipun bekerjasama selama enam tahun.

Mereka lupa parti mana yang sanggup memecat Dr Hasan Ali sebagai exco kerana tidak berhenti mengkritik pemimpin tertinggi rakan parti.

Sebaliknya, tepuk dada tanya sendiri, ada antara mereka yang pernah memecat ahlinya yang mengkritik PAS secara membuta-tuli yang mengakibatkan kerugian pada PAS dan juga Pakatan Rakyat?

Untuk mereka yang tidak gembira dengan pendirian presiden PAS di dalam kemelut isu menteri besar Selangor, penulis ingin mengingatkan PKR tidak memerlukan persetujuan PAS mahupun DAP dalam menukarkan Khalid.

Cukup sekadar PAS dan DAP memberikan jaminan kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR.
PKR hanya memerlukan persetujuan Khalid untuk berundur dan istana untuk menerima calon barunya.

Mudahnya, usahakanlah untuk mendapat surat peletakan jawatan daripada Khalid atau buatlah surat pemecatan Khalid daripada PKR. Pilihlah antara satu.

Selepas kerusi MB menjadi kosong, barulah ajak PAS dan DAP pergi berbincang. Sebelum itu, tidak perlu pelawa PAS dan DAP untuk bertembung dengan istana mahupun sesama sendiri.

Tidak perlu bersangka buruk pada PAS

DAP dan PKR tidak perlu sangka buruk kepada PAS hanya kerana ia tidak berapa bersetuju dengan penukaran Khalid sebagaimana PAS tidak bersangka buruk pada DAP (yang mengugut keluar Pakatan Rakyat) dan PKR meskipun menentang hasratnya melaksanakan hudud di Kelantan.

Oleh kerana sangka buruk, situasi di Pakatan Rakyat kini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Ketiga-tiga parti perlu akui mereka ada membuat kesilapan.

Sempena sambutan Aidilfitri ini, eloklah ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP menghayati maksud ‘Maaf zahir dan batin’ dan memaafkan segala tindak-tanduk masing-masing dan bekerja ke arah menyatupadukan semula Pakatan Rakyat, jikalau betul-betul sayangkan usaha 6 tahun membina asas Pakatan Rakyat selama ini.

Pada keadaan ini, mungkin Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menjadi kerajaan persekutuan, sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat dapat menjadi satu barisan pembangkang yang kuat dan stabil sebagai check and balance kepada kerajaan yang ada.

Rakyat Malaysia memerlukan sistem dua parti. Berkompromilah untuk kebaikan rakyat Malaysia jika benar-benar ikhlas berpolitik demi rakyat. –

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722