MALAYSIAKINI
NGO Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peguam negara (AG) dan ketua polis negara (IGP) selepas didakwa gagal bertindak terhadap kes menghina agama atau kaum seperti didedahkan media.
Presidennya Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Khalid Abu Bakar seolah-olah mengamalkan pendakwaan terpilih dalam isu itu, lapor ISMAweb.
“Berapa banyak kes sehingga hari ini yang tidak diambil sebarang tindakan jika ia melibatkan orang bukan Islam.
“Sebaliknya jika orang Islam dan Melayu yang melakukan perkara itu, dengan pantas dan segera diadakan siasatan.
“Jadi apakah sebenarnya yang menghalang IGP dan AG daripada tanggungjawab ini sehingga menyebabkan mereka yang bersalah dilindungi?” beliau dipetik sebagai berkata oleh media rasmi NGO itu.
Abdullah Zaik membangkitkan kes melibatkan yang dilaporkan Sinar Harian, The Malaysian Insider dan sebuah blog melibatkan pemilik akaun Facebook Smallfield Benjamin, pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, penyanyi rap Namewee, pengerusi Pertubuhan Seni dan Budaya David Orok, pemilik akaun Facebook Kwang Yung dan terkini Kelvin Yap.
Abdullah berkata, status 30 laporan polis yang dibuat ISMA terhadap DAP – yang digelarkan laman itu sebagai “parti chauvinis” dan pemimpinnya Lim Kit Siang juga masih tiada maklum balas mahupun tindakan diambil.
Abdudullah mendakwa, Lim memfitnah ISMA semasa himpunan di Dataran Merdeka pada 4 Mei lalu yang ucapannya disiarkan di YouTube pada 7 Mei 2014.