"Sejak akhir-akhir ini, kedengaran (pemimpin PKR dan DAP) meminta PAS mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
"Meminta parti rakan mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpinnya adalah satu bentuk campur tangan tidak wajar yang boleh menyentuh sensitiviti parti tersebut," katanya melalui posting terbaharunya di laman Facebok pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai reaksi pemimpin PR seperti Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang menggesa supaya PAS mengambil tindakan sewajarnya Mohd Zuhdi.
Menerusi mesej paparan skrin yang disebarkan itu, Mohd Zuhdi memberi analisis senario bagaimana PAS boleh membentuk kerajaan negeri Selangor baharu dengan kerjasama 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, milik Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan satu kerusi tambahan milik Adun PKR.
Selain itu Kamarul yang memperoleh Ijazah Kedoktoran melalui kajiannya mengenai PAS berkata, sebarang saranan atau usul agar dikenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota parti politik harus bermula di peringkat dalaman.
Katanya lagi, desakan supaya PAS mengambil tindakan disiplin terhadap Mohd Zuhdi dilihat seolah-olah mereka mengulangi perbuatan yang sama dilakukan Umno kepada PAS pada 1977 yang menjadi punca perpecahan kedua-dua parti itu.
"Walau apa sekalipun bentuk kesalahan yang didakwa dilakukan oleh seseorang pemimpin atau ahli sesebuah parti, tindakan disiplin terhadap mereka (jika ada) hendaklah bermula dari dalam parti itu sendiri.
"Adalah sesuatu yang tidak begitu bijaksana untuk PKR dan DAP mengulangi apa yang dibuat oleh Umno ke atas PAS pada tahun 1977 dahulu," katanya.