Roketkini.com
GEORGE TOWNI: DAP sentiasa komited membantu masyarakat India meningkatkan status sosioekonomi mereka agar dapat turut serta dalam arus pembangunan negara, kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng.
Beliau berkata, usaha membantu masyarakat India di negara ini hanya akan dapat dicapai menerusi pendekatan bukan berasaskan etnik tapi keperluan dan tanpa menafikan hak mana-mana kaum seperti dilakukan di Pulau Pinang.
“Pelan tindakan DAP mengenai urusan masyarakat India adalah melalui perspektif Malaysia.
Kejayaan hanya boleh dicapai menerusi pendekatan bukan etnik, tapi berdasarkan keperluan dengan tidak melucut atau menafikan hak mana-mana masyarakat lain.
“Ini pendekatan yang digunapakai di Pulau Pinang,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam forum Deklarasi Gelang Patah di Wisma DAP, George Town, hari ini.
Menurut Guan Eng, tidak pernah dalam sejarah negara selain di Pulau Pinang di mana masyarakat India dijunjung tinggi dan berada dalam barisan kepimpinan negeri.
“Tidak pernah ada masyarakat India yang menjadi Timbalan Ketua Menteri 2, ahli Exco, diberi kepercayaan mengelola Lembaga Pengurusan Harta Wakaf Hindu serta diberi bangunan sendiri.
“Kita memberikan peruntukan tahunan tetap, tidak melakukan perobohan kuil Hindu lama secara paksa, melantik wanita India pertama sebagai Setiausaha DUN Negeri, menghormati perayaan dan mengangkat martabat mereka.
“Kami bukan seperti BN yang hanya mendengar suara rakyat sekali setiap lima tahun. DAP mendengar suara masyarakat setiap masa dan patuh pada janji,” ujarnya.
Namun, kata Guan Eng, pendekatan berteraskan Malaysia iaitu bukan perkauman dan objektif Malaysia untuk bangsa Malaysia perlu dikekalkan.
“Jangan lupa dasar BN memberi kesan buruk kepada semua dan menjadikan masyarakat terpinggir bertambah buruk.