ANTARAPOS.COM
Manakala rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera itu ialah seorang pemuda berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Jeemihan dan dipercayai berketurunan India sementara mangsa-mangsa lain adalah rakyat Thai.
YALA: Dua terkorban, manakala seramai 36 orang termasuk sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia cedera apabila bom yang diletakkan di dalam sebuah kereta meletup di Pekan Betong, selatan Thailand, lewat petang semalam.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian telah dikenalpasti sebagai Phakdi Sae Oon, 26, dan antara yang cedera adalah Thianchai Panla, 25, Khomsan Phuakngam, 23, dan Chatchai Khamphu, 25.
Laporan The Bangkok Post yang memetik kenyataan polis berkata, bom tersebut ditinggalkan di dalam kenderaan kira-kira 50 meter dari Hotel Holiday Hill di bandar Betong meletup kira-kira jam 4 petang.
Bahan letupan tersebut dipercayai disembunyikan dalam trak pikap Toyota Vigo yang diletakkan di hadapan Hotel Betong Holiday Hill, Bhakdi Damrong Road di Tambon Betong.
Letupan itu mengakibatkan kebakaran dan kerosakan pada bangunan hotel, kereta dan motosikal yang ada berhampiran lokasi itu termasuk sebuah rumah dan kedai.
Gabenor Yala, Dejrat Simsiri memberitahu jumlah mangsa mengalami kecederaan dilaporkan agak tinggi kerana ketika itu, wilayah tersebut menganjurkan Pesta Buah.
Pihak berkuasa keselamatan mengandaikan bahawa silinder gas bersaiz kecil yang diisi bahan peledak diletupkan menggunakan radio komunikasi ketika empat ranjer tentera dari Regimen Tentera Renjer ke 11 sedang dalam perjalanan pulang menaiki dua buah motosikal.
Silinder gas itu dipercayai seberat kira-kira 25 kilogram diletakkan di tanah berhampiran tiang elektrik di jalan Moo 2 yang terletak dalam Kampung Kia.
Pekan Betong di daerah Yala yang bersempadan dengan Pengkalan Hulu, Perak merupakan antara pekan sempadan Thailand yang menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia.