Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Monopoli kroni punca kenaikan harga, kata Rafizi

$
0
0
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Rafizi Ramli bercakap pada forum anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli Malaysia, 9 Januari, 2014. 
Rafizi Ramli bercakap pada forum anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli Malaysia,



Perjanjian konsesi lama yang berat sebelah serta kuasa monopoli dalam bidang tertentu telah menyebabkan berlakunya peningkatan harga barang seperti kenaikan tarif elektrik dan bahan bakar yang diumumkan kerajaan, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, kerajaan mempunyai konglomerat tertentu yang boleh mempengaruhi harga bagi memperoleh keuntungan berganda.

"Harga naik mendadak kerana struktur ekonomi utama seperti elektrik, petrol, gula dan beras dikawal kerajaan. Setiap barang yang dikawal kerajaan dikawal pula konglomerat atau kroni memonopoli perjanjian yang cukup lama dan berat sebelah.

"Oleh kerana harga barang asas dikawal kerajaan dan monopoli, sudah tentu harga lain juga akan mempengaruhi. Apabila kerajaan membenarkan konsesi yang rata-ratanya sudah kaya-raya menaikkan harga, sudah tentu ia memberi rantaian berganda kepada harga lain," katanya dalam forum anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Rafizi berkata akibat kenaikan harga barang, rakyat meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah menandatangani perjanjian kepada konsesi berkenaan.

Katanya, rakyat mempersoalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pertumbuhan ekonomi 4-5% setiap tahun tetapi kesannya tidak diterima rakyat.

“Jika Malaysia betul-betul kaya seperti yang dikatakan, mengapa perlu berkira subsidi gula 20 sen kepada rakyat. Dengan pendapatan yang kerajaan ada, mengapa mereka tidak mampu pastikan harga ini boleh turun kerana ia tertakluk kepada kerajaan.

“Saya sebutkan berkali-kali yang tidak terkawal adalah perbelanjaan BN bukannya perbelanjaan rakyat. Jika perbelanjaan negara dikawal dan tidak berboros, ia boleh digunakan bagi memastikan harga barang tidak naik namun sebaliknya yang dibuat BN.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menegaskan bahawa dasar kerajaan yang lemah juga menyebabkan kenaikan harga barang seperti kelebihan yang diperoleh oleh penjana bebas dalam perjanjian konsesi elektrik.

Katanya, jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, mereka akan mengkaji semula perjanjian yang telah dibuat BN agar dapat memberi keuntungan kepada rakyat.

“Di Malaysia, keadaan ekonomi banyak dipengaruhi dasar kerajaan maka urusan kerajaan dalam perniagaan banyak mempengaruhi harga. Masalah dialami Petronas apabila kerajaan menandatangani perjanjian elektrik di antara penjana bebas dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Perjanjian itu menyatakan bahawa penjana bebas tidak perlu menanggung kos bahan api.

“Perjanjian itu turut menetapkan bayaran yang wajib dibayar oleh TNB bagi pihak rakyat kepada penjana bebas termasuk operasi penjanaan atau pun tidak,” katanya yang melihat satu jaminan cukup tinggi membolehkan penjana mendapat keuntungan berbilion ringgit melalui perjanjian itu.

Beliau berkata Malaysia ketinggalan jauh ke belakang berbanding negara serantau dalam soal kenaikan gaji ditinggalkan Indonesia dan Thailand yang melihatkan dasar atau pengurusan ekonomi kerajaan mampu melonjakkan gaji pekerja.

Katanya, gaji minimum bagi syarikat milik kerajaan negeri Selangor dinaikkan kepada RM1,500 selain menyatakan bonusnya lebih tinggi berbanding apa yang diberikan kerajaan pusat.

“Jika amanah yang diberi dilaksanakan dengan baik, kita boleh naikkan gaji, memberikan imbuhan dan kekalkan apa yang ada dalam kawalan kita. Kalau kami boleh buat di Selangor dan Pulau Pinang, Insya'Allah kami juga boleh buat di Putrajaya,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Rafizi menggesa ahli politik agar tidak mencari kemewahan melalui pentas politik dan lebih memfokuskan kepada kebajikan rakyat.

Katanya, mana-mana ahli politik yang berhasrat mengumpul kekayaan sewajarnya menceburi dunia korporat yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan terhadap pihak yang mendakwa tanggungjawab menjaga organisasi besar dan mengurus ekonomi berbilion ringgit maka gajinya patut berada pada jumlah tertentu.

“Kalau nak buat duit, gaji berpuluh ribu,saya nasihatkan jangan masuk politik, duduk dalam korporat. Sebagai ahli politik kena pastikan hidup kita tidak banyak beza dengan rakyat. Jika terlalu terpisah dengan rakyat, sebab itu ada menteri yang menyarankan cari jalan yang tidak bertol,” katanya.

Rafizi berkata Malaysia masih tidak mampu menghentikan penggantungan kepada pekerja asing setelah berpuluh tahun merngharapkan mereka dari sektor perladangan, pembinaan dan seterusnya bidang perkhidmatan.

Katanya, dengan penggantungan negara terhadap pekerja asing, ia tidak menutup peluang anak muda mendapat pekerjaan.

“Kita mesti hentikan membuat barangan kos rendah seperti negara China yang menggunakan pendekatan meningkatkan keuntungan, memberi gaji rendah, mengekalkan kos dan menggunakan buruh asing.

“Jika Malaysia mahu menghasilkan produk yang baik, ia perlu bersaing dengan negara yang menghasilkan produk yang baik,” katanya yang turut menyebut rakyat agresif mengemukakan tuntutan kerajaan kerana negara kkini berada pada tahap kritikal.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722