SHAH ALAM - Susulan kenaikan harga barang yang berlaku semakin mendadak, kerajaan tidak wajar menyatakan tidak mempunyai kaedah untuk menyelesaikannya.
Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata kerajaan dan juga menteri perlu memberi jawapan kepada rakyat untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
Menurutnya, kerajaan yang juga sebagai pencetus idea perlu menyelesaikan kemelut ekonomi yang sedang melanda dengan segera.
"Adakah kita tidak cukup kuasa atau tidak cukup teknologi untuk berbuat demikian, itu kerajaan kena jawab.
"... terlampau banyak boleh dibuat... sebagai pencetus idea mahu atau tak mahu kemelut ekonomi perlu diselesaikan kalau tidak teruk isi rumah tak ada duit nanti," katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-25 berjudul “Kejutan Ekonomi Selepas PRU13” , hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator mengenai apa kerajaan perlu lakukan kepada rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang selepas PRU13.
Dalam pada itu, Amir Hussin juga berkata kerajaan boleh menggunakan koperasi dan persatuan pengguna dalam memantau kenaikan harga barang yang semakin mendadak.
"...sebab kerajaan tak pernah nak menguatkan koperasi atau persatuan pengguna, kedua itu baru boleh kurangkan harga, namun koperasi hari demi hari semakin kurang.
"Padahal di negera Barat undang-undang kerajaan dan koperasilah handal untuk betulkan benda tak betul, saya hairan ada orang cakap bahawa kerajaan tak boleh buat apa-apa, itu saya rasa sedih sikitlah.
"Adakah kita tidak cukup kuasa atau tidak cukup teknologi untuk berbuat demikian, itu kerajaan kena jawab," katanya lagi.