KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mencadangkan Malaysia menggunakan platform Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk tindakan susulan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine, minggu lepas.
Katanya, meskipun Malaysia belum menganggotai mahkamah itu, namun terdapat peruntukan yang membolehkan kes terbabit dibicarakan di sana.
Beliau mengambil contoh insiden pesawat penumpang Iran Air Penerbangan 655 yang ditembak jatuh pada 1988 oleh tentera Amerika Syarikat, dibicarakan di mahkamah itu sekalipun Iran bukan negara anggota, dan berjaya diselesaikan.
"Laluan yang diambil (dalam kes Iran Air) pada masa itu memberi sedikit panduan tentang apa yang kita akan buat dalam masa pendek dan masa panjang.
"Setakat ini, Malaysia telah tunjuk yang kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Tapi pada masa yang sama kita harus jelas dengan tindakan seterusnya," katanya ketika membahaskan usul mengenai tragedi yang menimpa pesawat MAS, MH17 pada mesyuarat khas Parlimen di sini hari ini.
Nurul Izzah berkata penting bagi kes itu dibawa ke peringkat antarabangsa berbanding hanya berlandaskan undang-undang sesebuah negara, kerana ia membabitkan banyak pihak.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk. - Bernama