Usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebulat suara diterima oleh Ahli Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pihak kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas bagi membolehkan siasatan dimulakan segera.
Menurutnya, pasukan penyiasat khas itu akan dianggotai oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam dan agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Malaysia sedar akan hakikat bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan atau tangkapan di mana-mana negara lain.
“Oleh itu, siasatan terhadap penjenayah hanya akan dapat dijalankan sekiranya terdapat kerjasama dan komitmen sebenar daripada negara-negara dan pihak yang berkaitan,” ujarnya sewaktu menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya lagi, untuk menghadapkan pihak penjenayah ke muka pengadilan, pihak kerajaan akan menggunakan undang-undang jenayah Malaysia yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah (extra-territorial criminal application).
“Ini termasuklah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, Muhyiddin turut menjelaskan atas nama keadilan dan pembelaan terhadap mangsa-mangsa nahas MH17, sekiranya benar pesawat ditembak jatuh, Malaysia akan mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah hina ini di bawa ke muka pengadilan.
“Bukan sahaja di bawa ke muka pengadilan, bahkan mereka dijatuhi seberat-berat hukuman,” ujarnya.
Lewat petang ini, usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MAS, MH17 telah diterima sebulat suara oleh semua ahli dewan.