Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Pembebasan tahanan terakhir ISA, satu kejayaan perjuangan rakyat

$
0
0
Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengucapkan selamat pulang ke pangkuan keluarga kepada 6 orang tahanan ISA terakhir yang dibebaskan 5 Januari lepas.

Tahanan tersebut terdiri daripada 4 orang warga tempatan iaitu Ustaz Nazri Dollah, Bakar bin Baba, Adzmi Pindatun dan Adnan bin Umar, seorang warga indonesia, Darto bin Bandu dan seorang warga Filipina, Muadz bin Hakim. Pihak keluarga memaklumkan kesemua tahanan telah sampai ke rumah masing-masing pada petang 6 januari.

isa-1

Berdasarkan rekod GMI, semua tahanan tersebut dibebaskan ekoran tempoh perintah tahanan mereka tamat pada 5 Januari 2014. Oleh itu, GMI menyambut baik pembebasan tersebut dan tindakan KDN untuk membebaskan mereka tanpa tangguh.

GMI berpandangan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh pihak Kerajaan berhubung pembebasan terakhir ini.

Pembebasan 5 januari ini juga sebenarnya menjadi lambang kesombongan pihak Kerajaan yang enggan membebaskan tahanan lebih awal biarpun didesak hebat oleh rakyat.

Pembebasan ini juga boleh dianggap sangat lewat apabila ianya hanya dibuat selepas 1 tahun 5 bulan ISA secara rasminya dimansuhkan. Sedangkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk membebaskan tahanan lebih awal.

Tambah parah apabila pembebasan ini dibuat dalam keadaan Kerajaan Malaysia telah menggubal SOSMA dan PCA 2013. Iaitu dua undang-undang mirip ISA yang juga mengandungi peruntukan yang menghalalkan tahan tanpa bicara.

anti-isaSOSMA memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan seseorang tanpa bicara selama 28 hari manakala PCA 2013 pula memberi kuasa untuk Polis menahan suspek selama 2 tahun tanpa bicara.

GMI juga mengutuk tindakan Kerajaan Malaysia yang enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang dikatakan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA, PCA 2013 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 (DDA).

Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan yang disiarkan Utusan bertarikh 6 januari berkata, Kem Tahanan Kamunting akan dikekalkan dan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA dan PCA.

Sekiranya Kerajaan benar-benar telus ingin melaksanakan transformasi politik, Kem Tahanan Kamunting yang menjadi simbol kezaliman ISA perlu ditutup.

Serentak dengan penutupan Kem itu, Kerajaan juga perlu memansuhkan semua undang-undang yang mengandungi peruntukan tahan tanpa bicara termasuk SOSMA, PCA dan DDA.

GMI berpendirian transformasi yang dilakukan oleh Kerajaan perlulah bersifat holisitik.

Isa 1-2

Janganlah dianggap ISA sebagai berjaya apabila ada berita yang melaporkan tahanan ISA berjaya khatam (tamatkan) bacaan Al-Quran sebanyak 15 kali atau kerana tidak berlakunya penderaan dan tekanan di dalam kem tahanan, sedangkan keadaan keluarga yang menanggung derita bertahun-tahun tidak pula dilaporkan.

Fakta terdahulu tentang penyiksaan bawah ISA juga tidak boleh terpadam dan akan terus kekal dalam ingatan rakyat Malaysia.

Pemansuhan ISA dan pembebasan semua tahanan menjadi tidak bermakna apabila Kerajaan enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang bakal dihuni pula oleh tahanan SOSMA, PCA dan DDA.

Keadaan ini menjadikan Malaysia tidak reda daripada pencabulan Hak Asasi akibat akta drakonian yang digubal oleh Kerajaan sendiri.

Oleh itu bagi menamatkan espisod kezaliman ISA ini, Kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang tahan tanpa bicara dan juga menutup Kem Tahanan Kamunting.

Isa 1-4

Akhirnya perjuangan 25 tahun untuk mansuhkan ISA bersama rakyat Malaysia telah tiba ke penghujungnya. Pembebasan 6 orang tahanan terakhir menjadi tanda aras yang menunjukkan matlamat terakhir GMI juga telah tercapai.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2001, GMI konsisten menyuarakan tuntutan agar undang-undang drakonian ISA dimansuhkan. Kemuncaknya pada 1 Ogos 2009, apabila GMI telah memimpin puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di Kuala Lumpur bagi mendesak Kerajaan segera memansuhkan ISA.

GMI percaya desakan demi desakan daripada rakyat telah menjadi faktor utama Kerajaan Malaysia melalui Dato’ Seri Najib Razak terpaksa memansuhkan ISA yang secara rasminya termansuh pada 22 Jun 2012.

GMI akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai pembubaran GMI. GMI juga akan menyumbangkan baki dana yang ada kepada keluarga bekas tahanan ISA dan juga kepada gerakan baru yang akan memimpin perjuangan menentang akta-akta drakonian yang baru.

GMI juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ngo, mahasiswa, parti politik, rakan-rakan media dan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan GMI.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722