TINJAUAN di tiga bazar Ramadan di daerah Klang iaitu di Sri Andalas; Kampung Raja Uda; dan Sungai Udang tidak menjumpai individu peminta sedekah sebaliknya menemui seorang pemuzik jalanan yang bermain muzik untuk mencari rezeki.
Pemuzik jalanan atau lebih mesra di panggil Pak Hussin, 58, ditemui di bazar Ramadan Sungai Udang ketika sedang leka bermain muzik di khalayak umum.
Bagaimanapun, dia tidak berseorangan dalam pekerjaannya itu sebaliknya turut ditemani anaknya yang hanya ingin dikenali sebagai Apek, 30.
Sempat beramah mesra dengan dua beranak tersebut, wartawan dimaklumkan Apek bahawa ayahnya ayahnya adalah rakan baik kepada arwah penyanyi popular zaman 60-an S.Jibeng.
Katanya, Pak Hussin bermain muzik semasa zaman kegemilangan Allahyarham S.Jibeng selain pandai bermain pelbagai jenis peralatan muzik.
“Tapi, ayah hanya bergiat aktif di belakang tabir dan kehidupannya berbeza dengan arwah. Kini, ayah hanya menyanyi dan bermain muzik di tempat umum seperti pasar malam dan bazar Ramadan sebagai sumber rezeki,” katanya sambil memberitahu kemahiran Pak Hussin dalam bidang bermain muzik telah dijadikannya sebagai sumber pendapatan tetap.
“Sudah 20 tahun dia bermain muzik sambil meminta derma di seluruh Lembah Klang termasuk Shah Alam dan Klang. Melalui hasil kutipan ini, ayah gunakan untuk perbelanjaan harian,” katanya.
Apek berkata, bapanya memperoleh sekitar RM50 hingga RM100 sehari bergantung kepada pemberian orang ramai.
“Ayah mengalami masalah rabun. Walaupun begitu, dia masih mampu bermain muzik dan menyanyi. Memandangkan bulan ini bulan Ramadan, ayah hanya memainkan piano dengan mengalunkan lagu-lagu Hari Raya,” katanya yang tinggal di Seksyen 20, Shah Alam.
Apek berkata, memandangkan usia ayahnya yang semakin meningkat, hanya kerja itu mampu dilakukannya.
“Ayah tidak ganggu orang ramai. Dia hanya memainkan muzik sambil mencari rezeki,” katanya.
Tidak salah
Sementara itu, orang awam, Mohd Salleh Marzuki berkata, meminta sedekah sambil bermain muzik tidak salah.
“Itu adalah kelebihan masing-masing dan dia gunakan cara itu bagi mencari sumber pendapatan.
"Dia tak ganggu orang sebaliknya tambah memeriahkan suasana di bazar Ramadan ini,” katanya.
Menurutnya, peminta sedekah yang jenis memaksa orang awam kebanyakannya didalangi sindiket dan warga asing harus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
“Golongan ini harus diambil tindakan. Bagaimanapun, saya dapati aktiviti ini berkurangan di bulan Ramadan dan di bazar. Mungkin mereka khuatir dengan operasi oleh pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, keadaan meminta sedekah lebih membimbangkan bagi golongan peminta derma yang menggunakan nama tahfiz, surau atau masjid tertentu.
“Kalau tujuannya betul dikira bagus. Tetapi kebanyakannya menyalahgunakan untuk kepentingan sendiri. Golongan ini harus dipantau dan diambil tindakan tegas kerana ia sah salah di sisi undang-undang,” katanya.