Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Haram Comango: Zahid cuba tandingi sikap tidak rasional Hishamuddin

$
0
0

tony gst 2


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah cuba menandingi sikap tidak rasional menteri sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan mengisytiharkan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) sebagai pertubuhan haram.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu adalah satu ulangan semula kepada pengharaman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 2011.

“Ia seperti ‘deja vu’, sama seperti ketika Hishammuddin isytiharkan Bersih 2.0, sebuah gabungan 62 NGO sebagai pertubuhan haram.

“Nampaknya Ahmad Zahid cuba tandingi sikap tidak rasional pendahulunya dengan tindakan sama, meskipun Bersih berjaya batalkan arahan menteri itu (di mahkamah),” katanya dalam kenyataan.

Pada 24 Julai 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pengharaman Bersih 2.0, dengan hujah keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu ‘dibuat secara tidak rasional’.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan mengisytiharkan Comango sebagai pertubuhan haram, dengan alasan ia tidak berdaftar – alasan sama ke atas Bersih 2.0 – serta tidak Islamik.

Sama seperti Bersih 2.0, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi, Comango tidak pernah menganggap dirinya sebagai pertubuhan, sebaliknya hanya satu platform bersama 54 NGO untuk bekerjasama dan berkongsi pandangan.

“(Malah) Comango pernah membentangkan laporannya kepada ‘Universal Periodic Review’ (UPR) anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) pada 2013.

“Pertubuhan lain yang turut sama hantar laporan adalah Majlis Peguam, SUHAKAM, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Gabungan Hak Asasi Kanak-kanak,” katanya.

Laporan itu menyentuh isu hak asasi yang tidak dimasukkan dalam laporan Malaysia pada 2008, antaranya hak kepada bukan warganegara, hak orientasi seks dan identiti gender dan soal perkauman yang termaktub dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia PBB.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan siri tindakan tidak rasional Menteri Dalam Negeri memperlihatkan betapa ‘lembap’nya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau gagal belajar daripada keputusan Mahkamah Tinggi (berhubung pengharaman Bersih 2.0).

“Lebih teruk, beliau membuktikan dirinya sebagai seorang yang tidak toleran kepada kritikan dan pandangan berbeza, serta bersekongkol dengan ekstremis agama, bukannya menonjolkan diri sebagai seorang yang sederhana dan demokrat,” katanya lagi.-roketkini.com

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722