MH17


KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Malaysia (PCOM), bagi pihak rakyat Palestin, melahirkan rasa sedih terhadap nahas tragik yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal di Ukraine Khamis lepas.

"Sungguhpun perkataan yang diungkapkan mungkin tidak dapat menunjukkan kesedihan sebenar yang kami rasai terhadap insiden tragik ini, kami melahirkan rasa persaudaraan kami dengan keluarga yang kehilangan orang tersayang",  kata PCOM dalam kenyataan di sini hari ini.

"Kami berdoa semoga mereka diberikan kesabaran dan semangat, dan kami juga doakan semoga Malaysia dapat mengatasi keadaan yang sukar ini dengan keazaman yang kuat seperti yang selalu dilakukan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, walaupun bersedih atas tragedi pesawat itu, Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa ia adalah pejuang sebenar hak rakyat Palestin dan dengan berani memberi sokongan kepada rakyat Palestin yang kini menjadi sasaran bedilan Israel di Gaza, Palestin. - Bernama