Tiong Lai bercakap pada sidang media MH17 di Hotel Sama-sama KLIA hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIMTiong Lai bercakap pada sidang media MH17 di Hotel Sama-sama KLIA hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SEPANG - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan ke Kiev, Ukraine malam ini bagi memastikan pasukan penyiasat Malaysia dibenar memasuki kawasan nahas Penerbangan MH17.

Katanya pasukan yang dihantar Malaysia malam tadi sudah tiba di Kiev dan beliau mahu memastikan pasukan itu dapat memasuki kawasan nahas pada kadar segera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini.

Pasukan itu yang dianggotai 131 orang termasuk 24 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dan pegawai forensik polis tiba di Kiev awal pagi tadi.

Ditanya mengenai laporan bahawa kotak hitam pesawat itu sudah dikeluarkan dari kawasan nahas, Tiong Lai berkata perkara tersebut belum disahkan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata yang paling penting sekarang ialah bagi pasukan Malaysia diberi akses ke kawasan pesawat tersebut terhempas secepat mungkin agar mereka boleh melakukan kawalan dan memastikan bahan bukti tidak diusik.

"Adalah amat penting satu siasatan yang menyeluruh serta telus dilakukan dan untuk itu kita memerlukan kerjasama semua badan antarabangsa," katanya.

Menjawab soalan mengenai punca kejadian, Hishammuddin berkata setakat ini pihak berkuasa Malaysia tidak boleh mengulas lanjut memandangkan maklumat yang diterima belum disahkan.

"Selagi semua maklumat belum disahkan, sama ada kapal terbang itu benar-benar ditembak jatuh, bagaimana pesawat dijatuhkan dan siapa yang bertanggungjawab, kerajaan tidak boleh mengulas," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, timur Ukraine, tidak jauh dari sempadan Rusia pada malam Khamis waktu Malaysia.

Laporan media asing menyebut pesawat itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.  - Bernama