Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Protes turun buktikan pemerintah semakin lemah

$
0
0


Petikan Siasahdaily


Perhimpunan protes Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Turun, yang bermula pada malam 31 Disember lalu telah berlangsung tanpa sebarang insiden ganas yang dibimbangi sesetengah pihak, walaupun pihak pemerintah memberikan gambaran menakutkan tentang perhimpunan itu.

Satu kejayaan besar pihak Pakatan Rakyat dan gabungan kumpulan yang berdemonstrasi menunjukkan protes terhadap pemerintah Barisan Nasional dalam perhimpunan ini ialah kemampuan memobilisasi jumlah rakyat yang ramai untuk menyertai perhimpunan.

Kemampuan ini ialah satu petunjuk penting kepada peninggkatan pengaruh PR dan sekutu berbanding pengaruh pemerintah (pentadbiran Najib), apabila halangan-halangan yang diwujudkan untuk mengelakkan orang ramai menyertai perhimpunan itu ditolak dan diabaikan begitu sahaja oleh peserta-peserta.

Dalam hal ini, PR dan sekutu telah berjaya membuktikan sekali lagi yang keengkaran sivil (civil disobedience) telah dapat dilaksanakan secara besar-besaran dengan usaha yang agak minima.

Sejak bermula protes Bersih - dan protes isu-isu seperti ISA dan sebagainya - secara besar-besaran kebelakangan ini, keengkaran sivil telah menjadi sesuatu yang semakin normal, dan semakin mudah berlaku dalam skala yang besar.

Pemerintah yang bersungguh-sungguh menghalang dengan pelbagai cara termasuk kempen melalui media massa telah tidak diendahkan, sehingga berpotensi mendedahkan lagi kelemahan dan kehilangan kawalan, sekaligus menjejaskan kredibiliti sebagai pemerintah.

Perkembangan ini jelas amat berbeza dengan keadaan suata masa dahulu, apabila pemerintah tidak perlu berusaha keras dalam memburukkan pihak pembangkang, dan orang ramai mudah mendengar dan patuh pada kehendak pemerintah.

Ini semua menyumbang kepada peningkatan populariti PR, kerana dilihat sebagai pihak yang berpengaruh dan dapat mengawal keadaan semasa, dan penghakisan pengaruh dan autoriti pihak pemerintah.

PR telah berjaya menghalakan sentimen kemarahan terhadap BN, yang telah berbina sejak bertahun lalu ekoran pelbagai masalah yang melanda rakyat, terkini peningkatan kos hidup yang mendadak.

PR juga telah menunjukkan yang ia menikmati sokongan agak signifikan daripada golongan muda termasuk mahasiswa, yang sebahagian besarnya sanggup mengambil tindakan secara aktif dan berdepan risiko.

Walau bagaimanapun, hal ini hanyalah satu daripada bidang yang perlu dikuasai oleh PR dalam usaha menuju ke Putrajaya, mengambil alih pemerintahan negara daripada BN.

Protes besar-besaran telah banyak kali dilakukan sejak daripada penghujung 2007, kali pertama perhimpunan besar-besaran Bersih diadakan di Kuala Lumpur.

Tindakan yang telah banyak kali diadakan mempunyai potensi kehilangan nilai-nilai yang sepatutnya dimiliki, seperti kejutan dan kemampuan untuk mencetuskan kekaguman pihak tidak terlibat yang menyaksikannya.

Protes besar juga sentiasa mempunyai potensi mencetuskan hal yang tidak produktif seperti kemarahan orang ramai dan kemasukan elemen-elemen yang boleh menjejaskan matlamat protes diadakan.

Pada masa sama, pihak pemerintah juga boleh menjadi lebih memahami taktik dan strategi yang digunakan, dan bersedia dengan langkah-langkah yang diperlukan untuk menanganinya.

Tetapi, apa yang pasti - selepas banyak siri perhimpunan diadakan oleh PR dan sekutu-sekutu - ialah PR sentiasa mempunyai jumlah sokongan yang besar daripada rakyat.

Dua pilihan raya umum yang telah dilalui sejak 2008 menunjukkan sokongan ini terus meningkat, dan memberi satu gambaran tentang apa yang boleh dicapai oleh PR dalam pilihan raya umum akan datang.http://siasahdaily.blogspot.com/

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722