KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pesawat MH17 yang dilaporkan terhempas di di timur Ukraine.
“Semoga Allah SWT merahmati roh saudara seagama kita yang dipanggil mengadapNya di bulan yang mulia ini. Saya berkongsi rasa dukacita di atas tragedi berkenaan,” tulis beliau menerusi facebook pagi ini, sebagaimana di bawah.
Dari wad HUSM, saya membaca berita berkenaan pesawat MAS yang diberitakan ditembak di Ukraine yang melibatkan kematian 23 orang rakyat Malaysia dari lebih dua ratus penumpang.
Takziah saya rakamkan kepada keluarga mangsa yang terlibat, semoga Allah SWT merahmati roh saudara seagama kita yang dipanggil mengadapNya di bulan yang mulia ini. Saya berkongsi rasa dukacita di atas tragedi berkenaan.
Di satu segi yang lain, saya mengharapkan agar satu siasatan terperinci dilakukan ekoran tragedi berkenaan khususnya dari aspek prestasi keselamatan laluan berkenaan yang dikatakan telah bergolak sekian lama.
Masyarakat antarabangsa juga wajib mengambil peranan untuk memberikan tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik agar tidak melibatkan orang awan yang tidak berdosa di dalam pertikaian mereka.
Jika benar ia merupakan serangan sebagaimana dilaporkan, ia wajib dikutuk dan diambil tindakan. - HARAKAHDAILY