KUALA LUMPUR: Selepas mendapat komen daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Klip video kumpulan nasyid popular Hijjaz berjudul ‘Al-Qassam’ terus mendapat perhatian ramai.
Al-Qassam adalah merujuk kepada Briged Izzuddin Al-Qassam iaitu kumpulan sayap kanan Hamas, Palestin yang berjihad mempertahan tanah air mereka daripada penceroboh rejim Zionis Israel.
Zahid semalam berkata klip video berdurasi 5 minir 34 saat nyanyian kumpulan nasyid popular itu tidak ada hubung kait dengan jihad dan hanya satu nasyid yang berunsur keagamaan.
Klip video tersebut dimuat naik di Youtube sejak 13 Julai lalu oleh HIJJAZ CHANNEL yang kemudian turut disalin oleh pemilik akaun CaliphTV.
Ia semakin mendapat perhatian ekoran serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas Gaza yang sehingga hari ini telah mengorbankan 224 warga Palestin yang rata-ratanya adalah orang awam yang terdiri daripada warga tua, wanita dan kanak-kanak.
Versi asal nasyeed Al-Qassam adalah dalam Bahasa Arab dan merupakan lagu rasmi briged Al-Qassam dalam memberi semangat kepada mereka mempertahankan tanah Palestin.
Kumpulan Hijjaz kemudian menterjemah lagu tersebut sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza.
Setakat berita ini ditulis, klip video lagu nasyed ini mencatat 103,960 penonton pada akaun CaliphTV, manakala 67,805 penonton pada akaun HIJJAZ CHANNEL.
Bagaimanapun jumlah ini tidak termasuk tontonan dalam akaun Facebook yang juga mula mendapat perhatian ketika ini. -HARAKAHDAILY