Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Selepas menerima kecaman daripada pengguna media sosial, Kiki Kamaruddin iaitu wanita yang didakwa mengamuk terhadap seorang lelaki warga emas akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka.
Permohonan maaf terhadap pesara berumur 67 tahun yang menjadi mangsa makiannya di khalayak ramai serta seluruh rakyat Malaysia itu dimuat naik di lamanFacebook rasmi, Kiki Kerja Kahwin.
"Please spread the words of my sincere apologies to all Malaysian about my actions. (Tolong sebarkan permohonan maaf ikhlas saya ini kepada semua rakyat Malaysia mengenai tindakan saya)," tulis Kiki.
"That's not my intention. That's my personal mistakes and anger. Kerja Kahwin Sdn Bhd had nothing to do with my actions. I'm alone to be blame in this event. (Itu bukan niat saya. Ia adalah kesilapan peribadi dan kemarahan saya. Kerja Kahwin Sdn Bhd tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan tindakan saya. Saya sahaja perlu dipersalahkan dalam hal ini)," katanya.
Kiki secara tiba-tiba menjadi terkenal apabila rakaman video berdurasi 2.33 minit yang memaparkan dia dikatakan sedang mengamuk terhadap seorang warga emas mula tersebar di Internet sejak Selasa.
Dia dikatakan mengamuk selepas menyedari keretanya jenis Peugeot 208 dilanggar secara tidak sengaja oleh warga emas itu dari arah belakang.
Wanita itu juga dikatakan mengetuk kereta lelaki berkenaan dengan menggunakan pengunci stereng serta mengeluarkan kata-kata kesat dan mendesaknya membayar ganti rugi sebanyak RM2,000.