Bercakap kepada Harakahdaily, Khalid berkata, apa yang dicadangkannya adalah semata-mata mahu menjaga imej institusi Sultan daripada tercemar dengan tindakan Mais.
"Saya tidak ada niat untuk biadap dengan Sultan atau menimbulkan kemurkaan Sultan," katanya yang turut terkejut dengan teguran itu.
Bagaimanapun, beliau akan menulis surat kepada Sultan untuk memohon mengadap bagi menjelaskan isu berkenaan kepada baginda.
"Saya hanya mencadangkan untuk dikaji di peringkat Dewan Undangan negeri Selangor, demi menjaga nama baik Sultan,"katanya.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang bertindak mempersoalkan institusi agama sehingga sanggup mencemarkan kedaulatan Islam dan istana.
Baginda bertitah demikian berikutan kenyataan Khalid pada 18 Jun lalu yang mencadangkan kuasa eksekutif Mais dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri ini dihapuskan kerana kecewa dengan tindakan Mais yang tidak mahu memulangkan kitab Bible yang dirampas walaupun diarahkan berbuat demikian. -HARAKAHDAILY