Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Young Syefura (Rara): "Kenapa Aku Sertai DAP...."

$
0
0

KELAB GREENBOC



Rara: Dari mana, nak ke mana (Bahagian I)


Populasi wanita muda di Parti Tindakan Demokratik nampaknya kian meningkat. Pasca pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang akhirnya maju ke depan dan dengan berani mengisi borang keahlian sebuah parti yang telah sekian lama difitnah sebagai parti ‘komunis’ dan ‘cauvinis cina’.

Terbaru, DAP menerima permohonan keahlian daripada seorang ikon anak muda yang boleh tahan popular sejak ditemui hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0. Young Syefura Othman, atau lebih mesra dipanggil Rara, mengisi borang keahlian DAP setelah menghadiri sesi dialog bersama pimpinan muda parti di ibu kota.

Anak gadis berusia 25 tahun ini merupakan anak perempuan tunggal daripada tujuh orang adik-beradik. Dia mendapat inspirasi politiknya daripada sang ibu yang merupakan seorang aktivis PAS.

“Kami turun perhimpunan Bersih satu keluarga,” ujarnya berkisah tentang pengalaman pertama kali menyertai perhimpunan aman membantah penipuan pilihanraya itu.

Rara bernasib baik kerana datang awal dan pulang awal, lalu tidak terkena asap gas pemedih mata atau ditembak air gatal.

Beliau malah menjadi bualan anak-anak muda Malaysia setelah fotonya tersebar luas dan disebut-sebut sebagai salah satu ikon perhimpunan tersebut.

Kemasukan Rara ke dalam DAP disambut dengan reaksi bercampur-campur daripada berbagai pihak. Antara yang paling pantas memberi reaksi negatif pastinya pihak musuh yang dengan cepat melabel beliau, selain memuatnaik grafik kononnya Rara seorang pakar urut batin. Siap dengan alamat dan nombor telefonnya sekali.

“Saya menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang untuk wanita muda Melayu terutamanya,” kata beliau memberi penjelasan.

“Kita kekurangan pimpinan wanita muda. Kita mungkin ada Nurul Izzah dalam PKR, kalau PAS saya tidak pasti siapa. Kalau kenal pun Kak Aiman (Athirah)” tambahnya, sambil berkata kemasukannya ke dalam DAP adalah dengan cita-cita untuk mengajak lebih ramai wanita untuk turut ke depan dalam perjuangan mengembalikan demokrasi dan keadilan.

Minat beliau terhadap DAP bertambah rancak pasca fenomena Dyanamania yang melanda seluruh negara, di samping dasar parti yang menolak politik perkauman dan terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang apa pun.

“Semua kawan-kawan terkejut bila saya masuk DAP, semua orang asyik tanya, kenapa DAP?” tambahnya sambil memberitahu bahawa keluarganya menerima keputusan beliau dan faham benar dengan kiprah politik Rara serta memberikan beliau sokongan terus-menerus.

Hentaman dan serangan terhadapnya dianggap hal biasa. Poster dan grafik di laman-laman sosial memfitnah kononnya Rara mendaftar sebagai ahli seumur hidup DAP dan kononnya berhasrat menghapuskan hak-hak orang Melayu. Padahal Deklarasi Shah Alam yang dibuat pada 8 Januari 2012 jelas mempertuntukkan bahawa DAP “Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.”

“Tapi disebabkan saya macam dah terbiasa, saya biarkan sahaja,” ujarnya yang sebelum ini sudah pun pernah difitnah dengan pelbagai tuduhan pasca perhimpunan Bersih 3.0. “Bila saya kena sekali lagi waktu masuk DAP, saya sudah boleh bersedia. Saya ketawakan saja,”
ujarnya menguntum senyuman.

Tidak kalah hebat ialah tuduhan bertalu-talu daripada pihak musuh kononnya DAP mempergunakan gadis-gadis cantik jelita untuk menarik kemasukan orang Melayu. Rara melihat tuduhan itu sebagai sesuatu yang positif kerana baginya pihak musuh sudah ketandusan ide untuk mencari kesalahan. Tetapi, hakikatnya, memang benar sudah ramai yang berminat untuk menyertai DAP.

Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Setelah sekian lama DAP dimomok-momok sebagai parti cauvinis Cina, kehadiran wanita-wanita muda secara tiba-tiba meleburkan persepsi negatif tersebut, dan secara tidak langsung menarik minat orang ramai untuk mendekati parti yang dijaja-jaja musuhnya dengan pelbagai cerita karut.

Kekurangan wanita muda dalam aktivisme politik Malaysia bagi Rara adalah akibat daripada kerunsingan dan ketakutan untuk terlibat, selain disibukkan dengan urusan harian serta kurangnya sistem sokongan bagi mereka. Tambah-tambah pula yang bekerja dengan kerajaan.

“Mereka memang tidak berani menonjol, takut kalau apa-apa berlaku terhadap mereka,” jelasnya lagi, sambil berkata bahawa ketakutan kaum wanita yang meminggir daripada aktivisme mendorong beliau untuk lebih ke hadapan.

“Kita perlukan seseorang untuk ke depan dan menjadi contoh, pemimpin dan pembuka jalan.”

“Sekali kita maju setapak, orang yang di belakang akan ikut kita,” tambah beliau.


Rara: Bukan hanya menawan, tetapi melawan (Bahagian II)


Jarang-jarang sekali kita melihat muka baru dalam arena politik Malaysia mendapat perhatian banyak pihak. Rara barangkali salah seorang yang terampil di kalangan muka baru dalam dunia aktivisme politik.

Namun bukan sekadar muka yang harus dilihat dan dinilai. Jika rupa sudah cukup, justeru sekalian model dan pelakon boleh memperbuat parti politik sendiri dan pastinya akan berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Tidak perlu berpenat-lelah bermandi air gatal dan gas pemedih mata menuntut perubahan.

Rara, pastinya bukan sekadar seorang wanita yang berpenampilan menawan, malah beliau sebenarnya turut berkeupayaan melawan.

“Setiap kali turun demo, kita boleh tengok sendiri muka-muka yang sama juga yang hadir,” kata Rara, seorang yang melazimi aksi-aksi melawan di ibu kota membantah ini dan itu, sambil turut mengiyakan bahawa masih ramai rakan-rakan seangkatannya yang masih takut untuk ikut serta.

“Ramai yang masih takut dengan kerajaan, maka hanya tinggal muka lama yang berani,” ujarnya.

Bagi Rara, ketakutan dan kerunsingan wanita untuk turut terjun beraktivisme hanya boleh diselesaikan apabila ada wanita lain yang meredah lautan lelaki dan tampil ke depan sebagai contoh ikutan.

Ditanya apa lagi yang boleh dibuat dalam kiprah sosial-politik selain berdemonstrasi dan angkat sepanduk, Rara tenang-tenang sahaja menjawab bahawa bukan itu semata-mata perkara yang boleh dilakukan sebagai aktivis masyarakat.

“Saya cuba ikut aktiviti Dapur Jalanan setiap minggu. Di situ kita lihat ramai aktivis muda,”

“Aktiviti sebegitu menarik ramai mahasiswa. Setiap minggu akan bersilih ganti anak-anak mahasiswa membantu kami,” katanya berkisah tentang aktiviti memberi makan warga miskin kota di Jalan Panggong, Kuala Lumpur.


Aktiviti Dapur Jalanan dan ‘soup kitchen’ sekitar ibu kota yang menyediakan makan buat para gelandangan dan miskin kota menerima sorotan hebat seminggu dua ini selepas dilaporkan bahawa Kementerian Wilayah merancang mahu mengangkut para miskin kota dan memberi saman kepada mereka yang memberi sedekah kepada mereka.

Rara sudah aktif membantu warga miskin kota ini sebelum hal itu menjadi trendy dan diramaikan dengan anak muda membawa kamera dan berselfie.

Beliau juga turut melazimi aktiviti-aktiviti anak muda lain, termasuk Buku Jalanan, sebuah kolektif yang kini terbit di merata-rata tempat, menyediakan bacaan percuma kepada orang ramai demi menggalakkan budaya membaca dan berdiskusi, sambil busking dan kadang kala baca puisi.

Daripada kegiatan secara runcit-runcit ini, Rara menyimpan cita-cita politik besar untuk memimpin wanita keluar dari ketakutan yang membelenggu mereka daripada beraktivisme.

Oleh itu kami bertanya apakah itu sebabnya Rara masuk DAP? Beliau ketawa dan menutup mulutnya.

Mahu memimpin wanita

“Kalau saya tak ada cita-cita itu, saya tak akan buat apa-apa dan duduk diam sahaja,” tambahnya. Menurutnya lagi beliau memberanikan diri demi memberi inspirasi kepada ramai lagi wanita hebat yang masih segan-segan untuk ke hadapan.

Sebelum menyertai DAP, Rara secara jujurnya berkata parti tersebut kelihatan begitu ‘Cina’ sekali kerana barangkali terdapat terlalu ramai ahli berketurunan Cina. Namun itu tidak menjadikan DAP sebagai bukan parti politik pilihan banyak pihak, terutamanya teman-teman yang mempengaruhi kompas politik beliau.

“Bila saya tanya kawan-kawan, ramai sebenarnya yang memilih DAP sebagai parti yang lebih baik berbanding yang lainnya.”

“DAP lebih memberi ruang dan ia sebuah parti yang stabil, relax dan cool,” katanya sambil menambah bahawa yang ramai-ramai itu kebanyakannya memilih untuk tidak berparti; namun jika diberi pilihan, pastilah mereka memilih DAP.

Menariknya lagi, mereka ini kebanyakannya Melayu yang terdedah secara meluas kepada media sosial dan tidak lagi dirosakkan dengan media tradisional. Rara, sebagai seorang ‘selebriti’ kecil-kecilan di media sosial berharap untuk mengubah persepsi buruk ramai lagi warga internet terhadap DAP.


“Saya akan cuba tunjukkan bahawa selama ini mereka sebenarnya salah faham,” ujar beliau.

Rara turut disambut keluarga besar DAP di laman sosial Twitter sehari selepas mengisi borang parti.

“Ramai yang memberi sokongan dan kata-kata semangat. Tak sampai sehari saya masuk DAP, saya difitnah, jadi kata-kata semangat pemimpin DAP memberikan sokongan dan membuatkan saya rasa sangat dihargai dan diterima.”

Berkhidmat demi rakyat

“Sebenarnya semuanya berbalik kepada diri sendiri. Mesti tanya, sebab apa menyertai parti,” katanya ketika ditanya tentang masalah beberapa orang Melayu keluar masuk DAP apabila tidak dapat apa yang diinginkan.

“Jika dia benar-benar mahu berkhidmat untuk masyarakat, dia pastinya boleh bersabar.”

Menyebut tentang khidmat untuk masyarakat, anak gadis ini bersemangat sekali mahu mengatur program untuk masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan.

“Bersempena dengan bulan Ramadan, saya mahu buat program di rumah-rumah kebajikan. Sebabnya tak semua rumah kebajikan mendapat dana, malah masih banyak yang terpinggir.”

Menurutnya lagi masih ramai dari kalangan masyarakat yang tidak bernasib baik dan memerlukan penjagaan dan bantuan kewangan untuk meneruskan hidup.

Keperluan merangka dasar-dasar untuk memastikan golongan yang dipinggirkan pembangunan tidak boleh dipandang ringan, katanya. Sebagai graduan bidang kejururawatan, Rara punya titik luluh melihat kepayahan hidup dan keperitan yang ditanggung mereka yang tidak mendapat akses kepada khidmat kesihatan dan kebajikan.

“Saya sangat berminat dengan kerja kebajikan. Saya rasa ini satu tanggungjawab besar kepada masyarakat,” katanya mengakhiri perbualan.
-roektkini

LIHAT VIDEO DI SINI


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722