Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Masa Khalid hampir tamat, tetapi siapa penggantinya?

$
0
0

Oleh Cindi Loo


Berdasarkan laporan serta komen di media, masa bagi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menerajui Selangor seakan hampir tiba ke penghujungnya.Malah,pemerhati politik tertanya-tanya bila pemimpin PKR itu akan melompat ke parti Umno yang seakan akrab dengannya.

Mudah bagi kita melihat kemungkinan Khalid disingkirkan kerana beberapa isu yang melanda, atau mungkin bagi memberi warga Selangor lebih kesejahteraan.

Umum berpendapat Khalid telah semakin goyah dan sokongan terhadapnya juga kian pudar berikutan episod rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta episod catuan bekalan air buat penduduk negeri itu.

Warga Petaling Jaya juga mendapat kesan berhubung pembinaan Lebuh Bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex). Mereka menyalahkan Khalid kerana beliau mendakwa projek tersebut mampu memberi keuntungan kepada penduduk di ibukota.

Persoalan “bila dia akan berundur?” telah kedengaran sejak Januari lalu tetapi kini ia benar-benar mendapat perhatian serius. Ada yang berkata Khalid bakal meletak jawatan pada bulan September selepas Hari Raya Aidilfitri.

Ramai juga yang berpendapat Khalid perlu disingkirkan agar warga Selangor dapat menjalani hidup seperti biasa, bebas daripada amalan berpolitik yang melampau sehingga pentadbiran negeri terjejas.

Populariti Khalid nyata jatuh merudum jika diperhatikan keputusan pemilihan PKR, dan beliau tidak lagi dipandang tinggi walaupun kewangan Selangor begitu kukuh.

Jadi bagaimana penyingkiran Khalid bakal merungkai masalah tentang pengurusan air, lebuhraya serta agama sedangkan ia berhubung kait dengan kerajaan persekutuan.?

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa di dalam hal-ehwal tanah dan galian, agama Islam dan adat, undang-undang orang asal, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan dan perkhidmatan awam, tanah pengkebumian, pasar dan pesta, serta lesen pawagam dan dewan kesenian.

Kerajaan negeri menanggung tanggungjawab bersama dengan kerajaan pusat bagi kebajikan masyarakat, biasiswa, perancangan bandar, perparitan dan saliran, perumahan, budaya dan sukan, kesihatan dan perkhidmatan air.

Oleh itu, sekiranya Khalid digantikan, menteri besar yang baharu terpaksa berdepan cabaran ini yang memerlukan kerajaan Pakatan berunding dengan agensi persekutuan bagi memastikan segala operasi berjalan lancar, terutama bagi isu air dan lebuhraya.

Bagi isu agama, Khalid dilihat jarang sekali menyentuhnya, seperti juga pemimpin Melayu-Islam yang lain.

Pemerhati berkata keengganan beliau melakar langkah proaktif bagi menyelesaikan isu agama adalah kerana enggan dilihat menentang Sultan, selaku ketua agama yang menerajui Majlis Agama Islam Selangor dan Jais.

Jadi masalah ini akan menyebabkan sesiapa sahaja hilang populariti seperti mana yang dihadapi Khalid.

Khalid mendakwa beliau memberi keutamaan kepada negeri berbanding parti. Ini menyaksikan beliau kerap tidak hadir ke mesyuarat mingguan parti. Segala perancangan yang dibuatnya tidak diketahui pemimpin-pemimpin PKR yang lain.

Tidak dinafikan, pentadbiran Khalid telah memberi pengasingan di dalam operasi parti serta pentadbiran negeri. Dalam jangka panjang, ia bermakna kerajaan negeri mampu menjadi institusi di mana kuasa parti tidak disalahguna pemimpin negeri.

Penyingkiran Khalid sudah tentu disukai oleh beberapa pemimpin PKR dan Pakatan walaupun ia mungkin tidak menjejaskan warga Selangor secara amnya.

Untuk rekod, setahun lalu Khalid dianggap pemimpin terbaik di Selangor berbanding timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang mengancam akan meninggalkan parti kerana tidak menjawat jawatan tersebut.

Khalid dan pentadbirannya perlu menyelesaikan masalah berhubung pembinaan Kidex, berikutan langkah Jawatan Kuasa Khas melakukan siasatan terhadap perkara itu.

Kini muncul pula cerita pembinaan lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (Skip) di dalam perancangan Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan tidak semena-mena.

Khalid mungkin tidak mengakui popularitinya telah jatuh merudum, tetapi beliau perlu bersedia ditukarkan.

Malangnya bagi warga Selangor, masalah air, lebuhraya dan agama mungkin akan berlanjutan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722