Roketkini.com
KOTA KINABALU,- “Perang telah bermula,” kata Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin, yang jelas berang dengan insiden tembak-menembak di Samporna Sabtu lalu, yang mengorbankan seorang anggota polis marin.
Menurut Malaysiakini, sekumpulan lapan lelaki bersenjata dan berpakaian tentera, dipercayai dari Filipina dilaporkan tiba di pusat peranginan terkenal Pulau Mabul pada jam 11.10 malam.
Berlaku kejadian tembak-menembak melibatkan anggota polis marin di Banglo Air Resort di situ, sehingga mengorbankan Korporal Rajah Jamuan, manakala Konstable Zakia Aleip dipercayai diculik.
“Kita telah kehilangan nyawa seorang anggota muda yang patriotik, yang telah berkhidmat untuk negara dan negeri yang kita cintai ini dengan penuh bangga dan berani. Kita mesti memastikan pengorbanan beliau tidak sia-sia,” kata Jimmy Wong dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, walau pun beliau memahami kebanyakan rakyat Sabah kini bersedih dan merasa putus asa, sudah tiba masanya untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara.
“Sudah tiba masanya untuk bersatu sebagai rakyat (Malaysia), bangun dan berkata ‘cukuplah’. Kini adalah masa untuk menyerang balas. Untuk apa yang mereka (pengganas) lakukan semalam (Sabtu lalu), ini adalah satu peperangan,” katanya lagi.
Serangan di pantai timur Sabah kian menjadi-jadi sejak serangan pengganas Sulu tahun lalu, dengan penculikan demi penculikan berlaku di sebalik usaha kerajaan mengetatkan kawalan keselamatan di sana melalui penubuhan Pusat Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac 2013.
Justeru itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkenaan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi segera mengadakan usul tergempar berhubung isu ini.
“Ini adalah krisis nasional, dan kami pihak pembangkang bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk berhadapan dengan isu ini.
“Saya menggesa Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) dengan segera yang melibatkan wakil rakyat kedua-dua belah pihak. Inilah masanya untuk PR dan BN bersatu demi negara,” katanya tegas.
Kali pertama anggota keselamatan terkorban
Menurut Bernama, Pengarah Operasi Esscom yang baru dilantik, Abdul Rashid Harun, berkata, ini adalah kali pertama anggota keselamatan terkorban dalam cubaan menculik seumpama itu.
Serangan terbaru itu tambah memalukan kerana ia berlaku ketika lawatan Najib ke negeri itu bagi tujuan mengukuhkan sokongan politik kepada BN, malah sehingga menjanjikan ‘gula-gula’ daripada Petronas.
Najib semalam mengarahkan Esscom menilai kembali sistem keselamatan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon) berikutan serangan itu.
Mengulas hal itu, Jimmy Wong berkata, ia seakan cabaran kepada Najib selaku pemimpin negara.
“Najib, mereka membuat provokasi kepada anda, dan mereka telah tumpahkan darah pertama. Jadi saya menyeru Najib yang juga ‘Commander In Chief’, untuk memulakan langkah. Dan saya jamin, semua rakyat akan mengikut anda.
“Mereka keluar dan masuk (sempadan) seperti padang permainan mereka. Ini adalah masa untuk menyerang balas tepat ke arah mereka,untuk menyatakan dengan jelas dan kuat bahawa kita tidak akan bertolak ansur melihat rakyat dan askar kita diculik dan ditembak,” katanya lagi. – Roketkini.com