Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

KUIS Tempat Sempurna Sambung Belajar, Kata Penerima Anugerah

$
0
0

SELANGOR KINI





BANGI  : Pemilihan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai institusi pilihan bagi menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi ternyata tepat dan tidak mengecewakan.

KUIS bukan sahaja menyediakan kurikulum berlandaskan Islam tetapi turut menjanjikan persekitaran yang tenang dan selesa, demikian ujar penerima Anugerah Datuk Menteri Besar Selangor, Nadzirah Hassan Basri 25, sempena Majlis Konvokesyen KUIS ke 15 di sini.

“Setiap kursus di sini menjurus kepada pembentukan insan Ta’dibi iaitu insan berilmu disamping berpendidikan tinggi untuk masa depan para pelajarnya.

“Jadi, keseimbangan sebegini menjadikan kami para pelajar lebih bersedia untuk bersedia mengejar kemajuan di dunia disamping tidak melupakan akhirat,” tegas beliau yang juga penerima sijil Diploma Pengajian Islam Syariah ini.

Sementara itu, Hanisah Sakirun, 25 pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang Undang-undang turut berkongsi pendapat yang sama selain merasakan KUIS sebagai pusat pendidikan yang sempurna untuk menyambung pelajaran.

“Saya sendiri yang memilih menyambung pengajian di sini kerana merasakan ianya sesuai untuk membentuk diri saya menjadi insan berpendidikan selain teguh dari segi rohaniah juga.

“Apatah lagi sebelum ini saya yang mempunyai latar belakang sekolah berasrama penuh sudah terbiasa dengan persekitaran Islamik sebegini, jadi dengan adanya KUIS pilihan itu tidak sukar dibuat,” kata Hanisah, penerima Anugerah Kepimpinan Siswi bagi edisi konvokesyen kali ini.

Selain mereka berdua, turut menerima anugerah khas akademik ialah Siti Zuwairah Albar Ali, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang menerima Anugerah Rektor KUIS selain Ahmad Zaki Osman, Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang menerima Anugerah Kepimpinan Siswa.

Untuk edisi kali ini, seramai 982 orang pelajar daripada enam fakulti layak menerima sijil Diploma dan Ijazah masing-masing yang disampaikan Pengerusi KUIS yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali, Rektor KUIS, Prof Dr Aziudin Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain kehadiran ribuan keluarga dan ibubapa pelajar.

KUIS yang dimiliki sepenuhnya oleh MAIS ditubuhkan pada tahun 1995 dan sehingga kini KUIS menawarkan lebih daripada dua puluh kursus meliputi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, bahasa dan komunikasi, ICT dan multimedia, kejururawatan dan pendidikan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722