KLANG - Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) mendesak enam ahli PKR dan seorang individu yang terlibat menyebarkan fitnah berhubung pengunduran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disiasat.
Individu berjawatan ahli parlimen antara yang didakwa terlibat dalam provokasi itu.
Ahli Jawatankuasa Pasmeb, Wan Adnan Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya mempunyai bukti penglibatan mereka melalui kenyataan yang tersebar dalam media cetak dan laman sosial.
Menurutnya, ada yang mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan menyebarkan berita tidak benar mengenai peletakan jawatan menteri besar apabila mengaitkan institusi Diraja yang kononnya telah memperkenankan peletakan jawatan ini.
"Ini bukti sah komplot yang sengaja dirancang untuk mengaibkan dan menjatuhkan Abdul Khalid," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, semalam.
Sementara itu, ahli bersekutu Pasmeb, Mokhtar Razak Badri berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung isu itu mengelakkan kekeliruan.
“Jelajah itu akan diteruskan selagi PKR tidak menyelesaikan masalah itu.
“Kita lihat masalah ini adalah masalah parti tetapi mereka campur adukkan masalah mereka ke dalam pentadbiran negeri.
“Anak Selangor amat kagum dengan Abdul Khalid yang menjadi contoh dan tidak dapat di negeri lain, jadi kenapa anak Selangor tidak boleh mempertahankan menteri besar sedangkan rakyat negeri lain juga menyokong Abdul Khalid,” katanya.
Menurutnya, jika benar ramai menolak kepimpinan Abdul Khalid, individu yang mendakwanya boleh tampil dengan bukti kukuh.